ayat mulia~

"and certainly, We shall test you with something of fear, hunger, loss of wealth, lives and fruits, but give glad tidings to as-Sabirin (the patient ones)-(surah al-Baqarah: 155)

Thursday 24 December 2009

kuasa

Di dalam kehidupan di dunia ini, terdapat beberapa perkara yang mampu mengubah hati dan perangai manusia. Semua aspek di dalam kehidupannya akan berubah umpama ombak yang merubah pantai, sekali bah tiba terus merubah pepasir di pantai. Namun perlu diingat juga bahawa ejen yang berusaha untuk mengubah tatacara hidup manusia ini kepada perkara negatif adalah syaitan yang betuankan Iblis. Iblis yang telah bersumpah di hadapan Allah untuk akan terus berusaha tanpa mengenal erti emu dan mengalah menggoda anak cucu Adam agar terjerumus ke dalam lembah neraka. Tetapi walaupun Iblis dan bala tenteranya tidak mengenal erti jemu untuk terus menerus menggoda dan menyesatkan anak Adam, Allah dengan segala sifat pengampunnya bersedia mengampunkan hamba-hambanya yang tergoda dengan hasutan syaitan malah telah mnegurniakan satu perisai yang sangat ampuh yang tidak mampu ditembusi oleh mana-mana hembusan jahat syaitan iaitu keikhlasan di dalam mengabdikan diri kepada Allah. Diantara sifat-sifat yang mampu mengubah pola kehidupan manusia adalah sombong dan kuasa.

Dua perkara ini iaitu sombong dan kekuasaan boleh berjalan serentak dan mampu juga bergerak berasingan. Sombong boleh diumpamakan seperti serkam padi jika dibakar mampu bertahan dari dalam. Sekiranya ianya sudah berakar umbi di dalam diri maka susah untuk dihilangkan kecuali dengan satu kejutan atau disedarkan dengan satu dugaan yang mempu mematahkan sifat sombongnya. Jika diperhatikan, masyarakat tidak kiralah mana-mana bangsa pasti tidak akan menyenangi orang yang mempunyai sifat ini, kerana sifat sombong bukanlah satu sifat fitrah yang perlu ada pada diri mana-mana manusia bahkan hanya Allah sahaja yang layak memakai pakaian kesombongan kerana hanya Dia yang maha sempurna. Di dalam surah Luqman ayat 18 secara jelas Allah menyebutkan menerusi pesanan oleh seorang hamba Allah yang soleh yang bernama Luqman kepada anaknya Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri”. Justeru mengapa masih ada lagi manusia yang masih mahu mempertahankan tahta kesombongan yang bukan miliknya. Bagi mana-mana individu yang berhajat untuk mempertahankan lagi kesombongan di dalam diri masing-masing maka fikir-fikirkanlah tentang akhirat kerana kita bukan selamanya hidup di dunia dan di akhirat kelak kita sangat memerlukan simpati dari Allah. Justeru jika kita melakukan perbuatan yang tidak disukai Allah maka adakah kita layak untuk meraih simpati Allah. Di dalam hadith daripada Mahmud bin Labid diriwayatkan oleh Ahmad

عَنْ مَحْمُودِ بْنِ لَبِيدٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ قَالُوا وَمَا الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الرِّيَاءُ

Terjemahan: “Sesungguhnya hal yang paling aku takuti menimpamu ialah syirik kecil. Para sahabat bertanya apakah syirik kecik itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab ia adalah riya..”

Mengapa Rasulullah menggelarkan riya atau sombong sebagai syirik. Kerana sifat sombong akan menafikan kekuasaan dan kebesaran Allah sama ada secara langsung atau tidak. Contohnya seseorang yang sombong dengan kekayaan yang ada padanya. Maka sudah pasti sifat sombong akan menyatakan bahawa segala kekayaan adalah hasil usaha dan penat lelah yang telah diusahakannya. Jadi dimana letaknya sikap penghambaan yang sepatutnya menyatakan itu semua adalah kelebihan yang telah dikurniakan oleh Allah kepadanya. Jadi disinilah syirik itu berlaku iaitu ketika mana-mana individu menafikan bahawa sebenarnya Allah yang telah memberikan kekayaan kepadanya dan bukan atas usaha mutlaknya sahaja. Mahukah kita menjadi orang yang melakukan kezaliman yang besar sebagaimana yang telah Luqman nasihatkan kepada anaknya di dalam surah Luqman ayat 13 Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar”. Jadi merilah kita sama-sama bermuhasabah diri untuk memperbaiki diri dan membuang sifat-sifat mazmumah yang telah bersarang di dalam diri kita. Hanya dengan keimnan dan ketaqwaan kepada Allah yang mampu merobek sarang sifat-sifat yang tercela itu dan ditambah dengan keikhlasan yang mampu menggilap cahaya keimanan dan ketaqwaan yang pastinya akan membendung dan menghalang segala sifat tercela yang mahu bersarang di dalam diri.

Kekuasaan pula adalah salah satu faktor yang mungkin datang bergandingan dengan sifat sombong atau juga berjalan sendirian tanpa kesombongan. Namun kekuasaan pada lazimnya akan menjadi tercela dan hina jika beriringan dengan sifat sombong. Marilah kia telusuri sejarah yang telah diceritakan oleh al-Quran di dalam surah al-Dukhan ayat 30-31 “Dan sesungguhnya telah Kami selamatkan Bani Israil dari siksa yang menghinakan, dari (azab) Fir'aun. Sesungguhnya dia adalah orang yang sombong, salah seorang dari orang-orang yang melampaui batas”. Firaun adalah seorang pemerintah yang sangat zalim dan sangat melampaui batas. Ketika itu Allah mengutuskan nabi Musa sebagai rasul yang bertanggungjawab menyeru Firaun kepada kebenaran dan mentauhidkan Allah. Namun ajakan dan dakwah yang diseru oleh baginda ditolak bulat-bulat. Mengapa seruan nabi Musa ditolak oleh Firaun. Hanya kerana dua perkara besar yang telah berkar umbi di dalam dirinya iaitu sifat sombong dan kekuasaan yang ada padanya ketika itu. Firaun memliki empayar yang besar dan kuat ketika itu, dan oleh kerana terlalu merasakan dirinya begitu berkuasa dia telah mengisytiharkan dirinya sebagai tuhan yang patut disembah oleh rakyatnya. Oleh kerana takut kehilangan pengaruh dan kekuasaan Firaun telah mendustakan nabi Musa dan menuduhnya sebagai tukang sihir. Begitulah juga yang terjadi kepada junjungan besar nabi Muhammad ketika baginda didustakan oleh kaum Quraisy dan dituduh sebagai ahli sihir. Tetapi bukan semua individu yang dikurniakan keuasaan oleh Allah diriringi dengan sifat sombong diri. Kekuasaan hanya akan menjadi hina jika digandingkan dengan kesombongan sebaliknya menjadi mulia dan dimuliakan jika pengapitnya adalah keikhlasan dan merendah hati.

Sebagai contoh nabi Sulaiman yang mana empayar dan pemerintahannya bukan sahaja ke atas manusia bahkan burung, jin, semut, tumbuhan dan haiwan-haiwan adalah dibawah kekuasaannya dengan izin Allah. Namun baginda mempamerkan akhlak yang baik dan sentiasa memuji kebesaran Allah dan sentiasa beribadah kepadaNya. Dan kami juga ingin membawakan satu contoh pemimpin yang sangat dan patut diberi pujian dan ketinggian iaitu Ratu kerajaan negeri Saba’ atau yang telah diperkenalkan sebagai Ratu Balqis. Walaupun pada awalnya beliau dan rakyatnya tersesat dan disesatkan oleh syaitan dengan mensyirikkan Allah dengan menyembah matahari namun beliau tidak segan-segan untuk merendah diri dan mengaku kekuasaan Allah dan kerasulan nabi Sulaiman dan beliau beriman kepada Allah. Semua ini diceritakan di dalam surah al-Naml dari ayat 22. Digambarkan oleh al-Quran bahawa singgahsana tempat bersemayamnya ratu adalah singgahsana yang besar dan ni menunjukkan bahawa kerajaan Saba’ bukanlah calang-calang kerajaan tetapi merupakan kerajaan yang kaya dengan hasil negara dan kuat. Tetapi tetap mengalah dengan tuhan yang lebih kaya yang memiliki semua kekayaan. Tidak seperti pemimpin zaman sekarang yang berlagak dengan kuasa yang sedikit. Baru memerintah beberapa penggal tapi hidung lebih tinggi dari pinoccio. Justeru marilah kita renung-renungkan betapa orang yang menghadirkan diri kepada Allah dengan penuh pengharapan dan penghambaan pasti akan mendapat kemuliaan kerana Allah adalah pemilik kemuliaan dan bukannya manusia yang menentuan siapa yang patut dimulia dan diagungkan.

Tuesday 8 December 2009

Kasih sayang


Kebanyakan manusia yang tipis imannya sering berlegar-legar di kotak fikirannya tentang keadilan yang dibawa oleh Islam. Mengapa pembahagian harta pusaka faraid dilebihkan lelaki daripada perempuan, mengapa umat Islam tidak dibenarkan meminum arak, mengapa zina tidak diizinkan, mengapa perempuan wajib berhijab, mengapa aurat lelaki lebih ringan daripada perempuan, mengapa ada neraka kalau Allah tu penyanyang. Mengapa, mengapa dan mengapa adalah soalan yang sering berlegar-legar di dalam kepala manusia yang tipis imannya setipis selaput telur yang mampu dirobekkan hanya dengan satu hembusan angin.
Di dalam masalah ini, kita sebagai hamba tidak layak untuk menilai dan mempersoalkan paras keadilan dan tanda kasih Allah kepada manusia secara membuta tuli sedangkan sama ada manusia itu sedar atau tidak Allah sentiasa menyelamatkan hamba-hambanya daripada sebarang bentuk kesengsaraan dan sentiasa menunjukkan jalan kejayaan kepada hambanya dengan memberikan kitab sebagai panduan untuk menuju kepada kejayaan tersebut. Kejayaan yang dimaksudkan di sini adalah kejayaan di akhirat kelak yang merupakan satu kejayaan yang paling berjaya untuk diraih dan diidam-idamkan oleh setiap insan yang mengetahui betapa berharganya kejayaan yang diperolehi di akhirat kelak.

Pensyariatkan perintah dan larangan adalah sebagai salah satu ujian dan cubaan yang perlu ditempuh oleh setiap insan. Perintah dan larangan ini jika diteliti merupakan salah satu bentuk keadilan dan tanda kasih Allah. Bahkan di dunia manusia mencipta undang-undang yang berbentuk tegahan dan kewajipan sedangkan Allah lebih berhak untuk menentukan apa yang perlu dilakukan dan apa yang perlu dijauhkan. Jika larangan diingkari dan kewajipan dilupai maka balasan yang setimpal akan dikenakan. Di dalam hal ini, Allah maha adil di mana menilai mana-mana kesalahan yang dilakukan akan diadili dengan pengadilan paling adil. Tiada tindasan akan terjadi, yang tertindas akan diberikan haknya dan yang menindas akan ditindas dan diberikan balasannya.

Tidak ada istilah ‘kejam’ di dalam pengadilan Allah kelak kerana di dunia ini lagi Allah telah memberikan peringatan bagi setiap perbuatan yang kita lakukan dan apa yang bakal kita perolehi. Setiap perbuatan pasti akan diperhitungkan walau sekecil mana pun perbuatan tersebut pasti tidak akan terlepas daripada pandangan Allah dan pasti akan dibawa ke muka pengadilan. Sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Zalzalah ayat 6-8. Terjemahannya “Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan yang bermacam-macam, supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) pekerjaan mereka. Sesiapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarah pun nescaya dia akan diperlihatkannya, dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah pun nescaya dia akan diperlihatkannya juga”. Begitulah janji Allah di dalam pengadilan yang bakal ditempuhi oleh semua umat manusia kelak.

Kasih sayang dan keadilan Allah akan tersirna lagi bagi pemikir dan orang-orang yang mengimani suruhan dan larangan Allah dengan sepenuh hati. Ini kerana bagi setiap larangan dan suruhan pasti terkandung hikmah dan kebaikan yang banyak di dalamnya seperti larangan meminum arak. Arak dikenali juga sebagai ibu kepada maksiat. Dengan meminum arak fikiran manusia akan menjadi khayal, mabuk dan hilang pertimbangan sebagai manusia biasa. Di dalam keadaan ini, akal manusia tidak lagi mampu untuk menolak dan menimbang apa yang betul dan apa yang salah. Fikiran-fikiran yang matang akan terbantut kematangannya, fikiran yang logik akan terawang-awang kelogikannya, fikiran yang bernas akan tercantas kebernasannya gara-gara arak dan kemabukannya. Di dalam keadaan yang khayal dan mabuk ini, manusia akan berbuat apa sahaja tanpa terlebih dahulu meminta pertimbangan akal untuk menentukan sama ada baik atau tidak. Mungkin sahaja membunuh atau berzina, malah mencaci maki dan mengherdik ibu bapa juga tidak terkecuali kerana apa sahaja bakal terjadi ketika seseorang di dalam keadaan yang mabuk. Justeru, larangan Allah adalah untuk menyelamatkan manusia daripada menjadi seperti haiwan yang tiada akal dan kewarasan fikiran. Haiwan tidak dikurniakan akal dan pertimbangan kewarasan fikiran sedangkan orang-orang yang mabuk kerana meminum arak juga telah tercabut kewarasan fikirannya dan ini sama keadaannya seperti haiwan.

Di dalam pada itu, Allah telah menyediakan syurga dan neraka bukanlah tanda Allah tidak menaruh kasih sayangNya terhadap hamba-hambaNya akan tetapi itu adalah tanda keadilan Allah. Allah telah memberikan al-Quran sebagai buku untuk rujukan semua umat manusia agar mereka mengetahui apa yang perlu mereka lakukan dan apa yang perlu mereka tinggalkan, apa ganjaran bagi setiap kewajipan dan apa balasan bagi setiap larangan. Allah telah menyebutkan berkali-kali mengenai ganjaran dan balasan yang telah disediakannya. Tetapi adakah dengan adanya neraka itu tandanya Allah telah hilang sifat kasih sayang. Tidak sekali-kali bahkan itulah tandanya Allah sangat mencintai hambaNya kerana neraka disediakan agar manusia merintih, merayu dan meletakkan dahinya ke bumi agar dijauhkan dari seksaan neraka. Mereka akan bertaubat agar dosa-dosa diampunkan dan memohon dengan kasih sayang Allah agar dilepaskan dari api neraka maka pasti Allah akan mengasihinya dan melepaskan dari seksaan neraka. Allah berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 222. Terjemahnnya, “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri”. Di dalam surah al-Hadid ayat 21 pula Allah memerintahkan agar berlumba-lumba untuk mendapatkan syurga dengan meminta keampunanNya. Terjemahnnya, Berlumba-lumbalah kamu kepada keampunan tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasulNya”. Manakala syurga pula adalah tempat yang mana Allah melimpahkan rahmat dan kasih sayangnya yang tidak putus-putus. Maka ianya juga dijadikan sebagai tanda kasih sayang Allah kepada hambanya untuk membalas sebarang kebaikan yang telah dikerjakan.