ayat mulia~

"and certainly, We shall test you with something of fear, hunger, loss of wealth, lives and fruits, but give glad tidings to as-Sabirin (the patient ones)-(surah al-Baqarah: 155)

Saturday 6 February 2010

Berbuat baik kepada ibu bapa

Ibu bapa merupakan satu perkataan keramat yang sangat mempengaruhi hidup mana-mana individu. Kedudukan ibu bapa sama sekali tidak terjejas dengan segala pangkat yang diperolehi oleh anak-anak mereka. Ini kerana Allah sendiri telah meninggikan kedudukan ibu bapa di dalam Islam. Ibu bapa diberikan tempat yang sangat istimewa pada kacamata Islam di mana ibu bapa wajib ditaati dan dihormati. Al-Quran banyak merakamkan perintah–perintah Allah mengenai kewajipan untuk mentaati ibu bapa. Allah berfirman di dalam surah al-Ahqaf ayat 15, terjemahannya “Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua orang ibu bapanya, ibunya mengandungkannya dengan bersusah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula)”. Juga sebagaimana ayat di dalam surah Luqman ayat 14, terjemahannya “Dan Kami perintahkan kepada (berbuat baik) kepada kedua ibu bapanya”.
Menderhaka kepada kedua ibu bapa adalah termasuk di dalam dosa besar. Tentunya kita sebagai umat Islam yang mengaku beriman dengan adanya kewujudan Allah yang Esa tidak mahu melakukan sekecil-kecil maksiat kepadaNya apatah lagi untuk melakukan dosa besar. Di dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh imam al-Bukhari di dalam sahihnya, di dalam kitab al-adab, terjemahnnya -daripada ‘Abdullah bin Umar berkata, Rasulullah saw telah berkata bahawa salah satu daripada dosa-dosa besar adalah seseorang lelaki melaknat ibu bapanya, mereka berkata wahai Rasulullah bagaimana mungkin seseorang lelaki sanggup melaknat ibu bapanya. Rasulullah berkata seseorang yang menghina ibu bapa orang lain dan dia juga membalas dengan menghina ibu bapanya. Jelas di sini bahawa Rasulullah telah menggolongkan orang yang menderhaka kepada ibu bapa adalah berdosa besar. Malah berdasakan hadith di atas juga kita lihat bahawa dilarang menghina ibu bapa orang lain kerana perbuatan tersebut sama seperti menghina ibu bapa sendiri. Begitulah akhlak dan adab sopan yang diajar oleh baginda dengan tidak menghina mana-mana makhluk sekalipun.
Ulama telah menggolongkan kesabaran kepada dua iaitu sabar menghadapi ujian dan musibah daripada Allah dan sabar di dalam mengerjakan ketaatan kepada Allah. Kedua-duanya memerlukan tahap keimanan yang tinggi kerana tanpa iman dikhuatiri orang yang dilanda musibah akan tergelincir aqidahnya dan orang yang ingin melakukan ketaatan putus harapannya. Begitu juga dengan suruhan mentaati ibu bapa dan tidak menderhaka kepada kaduanya adalah termasuk sabar di dalam mengerjakan perintah Allah. Mungkin selama bersama dengan ibu bapa terdapat perkara-perkara yang tidak berkenan pada pandangan kita namun kita perlu sabar dan taat kepada keduanya, barangkali apa yang tidak kita sukai itu merupakan perkara yang terbaik untuk kita bahkan seringkali kita dengari pilihan ibu bapa adalah yang terbaik kerana ibu bapa hanya menginginkan yang terbaik untuk anak-anaknya. Ketaatan anak-anak kepada ibu bapa mereka tidak akan gugur sama sekali selagi mana mereka tidak menyuruh kepada perkara yang maksiat. Walaupun ibu bapa mereka bukan beragama Islam wajib untuk anak-anak mentaati dan tidak menderhaka kepada kedua orang tuanya. Sebagaimana di dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam sahihnya, kitab al-adab, Rasulullah saw bersabda, terjemahannya –daripada Abu Hurairah berkata, seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah saw lalu bertanya kepada baginda wahai Rasulullah siapakah orang yang lebih berhak untuk aku berbuat baik kepadanya maka baginda menjawab ibumu, kemudian siapa? Rasulullah saw menjawab ibumu. Kemudian siapa? Rasulullah saw menjawab ibumu, kemudian siapa?kemudian ayahmu.
Dunia hari ini banyak menyaksikan kekurangan akhlak terutamanya dikalangan para remaja. Para remaja hari ini banyak menyaksikan dan belajar aksi-aksi negatif dari pelbagai kelompok dan ajaran songsang yang kebanyakannya berpunca dari barat. Kami tidak menuduh barat sebagai penyebab kesan negatif namun kedaifan para remaja Islam itu sendiri yang mudah terpengaruh dengan aksi-aksi negatif dari barat disebabkan rapuhnya pasak aqidah yang dibenamkan di dalam diri para remaja Islam sekarang sehinggakan tidak mampu untuk menolak gelombang-gelombang negatif. Bahkan terlalu lemah untuk mempertahankan identiti keislamannya yang sepatutnya menjadi kebanggaan kepada setiap umat Islam. Salah satu kesan negatif yang diamalkan adalah tidak menghormati ibu bapa malah meletakkan taraf ibu bapa setara atau lebih bawah dari mereka. Marilah sama-sama kita renungkan hadith ini yang diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam sahihnya, terjemahnnya –Rasulullah saw ditanya apakah amalan yang paling Allah sukai? Rasulullah saw menjawab solat tepat pada waktunya, kemudian apa? Rasulullah saw menjawab berbuat baik kepada ibu bapa, kemudia apa? Rasulullah saw menjawab kemudian berjihad di jalan Allah. Hadith ini meletakkan amalan berbuat baik kepada ibu bapa pada turutan yang kedua selepas mengerjakan solat. Ini bermakna menunaikan hak kepada kedua ibu bapa lebih utama berbanding berjihad untuk menunaikan tanggungjawab negara dan masyarakat. Sedangkan mengerjakan solat adalah hak hamba kepada Allah sememangnya diutamakan dari segala-galanya. Jadi mengapa masih terdapat anak-anak yang mengabaikan tanggungjawab mereka kepada orang tuanya bahkan di dalam sahih al-Bukhari terdapat satu bab iaitu ‘bab tidak boleh berjihad kecuali dengan izin ibu bapa’. Mengapa? Kerana ketinggian kedudukan ibu bapa itu mengatasi segalanya pada kehidupan anak-anak. Sedangkan untuk berjihad sahaja memerlukan izin orang tua, apatah lagi untuk keluar berjalan-jalan dengan kawan, lebih lagi memerlukan persetujuan ibu bapa. Oleh itu, marilah sama-sama kita sebagai anak merenung mengapakah masih kita menderhaka kepada ibu bapa sedangkan ibu bapa yang telah menjaga dan mengasuh malah bersusah payah sehinggakan setitik air susu ibu tidak akan sama dengan segunung emas dan setitik peluh ayah pasti tidak akan sama dengan selautan intan.

No comments:

Post a Comment