ayat mulia~

"and certainly, We shall test you with something of fear, hunger, loss of wealth, lives and fruits, but give glad tidings to as-Sabirin (the patient ones)-(surah al-Baqarah: 155)
Showing posts with label Fiqh~. Show all posts
Showing posts with label Fiqh~. Show all posts

Wednesday, 29 April 2009

Sokong Dr. Asri bebaskan institusi fatwa

KALI pertama saya bertemu bekas mufti Perlis, Dr. Asri Zainal Abidin ialah pada Disember 2008. Beliau yang sedang melanjutkan pengajian di United Kingdom datang ke London untuk menyertai demonstrasi mengenai Gaza. Kebetulan ketika bertemu, saya pun mengikut beliau dalam demonstrasi tersebut walaupun untuk sekejap sahaja.

Selepas berdemonstrasi, saya meneruskan perbualan dengan Dr. Asri sehingga hampir tengah malam.

Beliau meminta penjelasan kenapa kami di Malaysia Think Tank beriya-iya mempopularkan faham libertarianisme sehingga sanggup membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk menaja peserta Akademi Merdeka yang kami anjurkan secara berkala.

Pada 1-3 Mei depan, kami sekali lagi akan mengadakan Akademi Merdeka di Pulau Pinang.

Rupa-rupanya walaupun ada perbezaan di sana-sini, banyak juga persamaan pandangan antara kami. Saya menghormati Dr. Asri sebagai seorang yang boleh menerima perbezaan pandangan tanpa terlalu dipengaruhi emosi.

Isu paling hangat yang kami bicarakan pada malam itu ialah mengenai kewibawaan institusi fatwa di Malaysia. Kesejukan di tengah-tengah musim dingin pun menjadi panas dalam perbincangan itu!

Minggu lepas saya bertemu sekali lagi dengan ilmuwan agama ini di Dewan Malaysia London. Beliau menyebut bahawa majalah Al-Islam keluaran April 2009 telah menyiarkan pandangan beliau mengenai betapa kita perlu memperkukuhkan institusi fatwa negara.

Dalam majalah tersebut Dr. Asri mencadangkan agar diwujudkan badan-badan fatwa bebas selain daripada Majlis Fatwa yang rasmi.

Memetik kata-kata Dr. Asri, lebih baik jika kita mempunyai "badan fatwa yang dianggotai oleh tokoh-tokoh ilmuwan daripada pelbagai aliran. Bebas daripada kongkongan kepentingan, mampu mencampuri pelbagai urusan umat. Ia boleh dibiayai oleh institusi wakaf agar tiada siapa yang mengongkongnya."

Nampaknya daripada satu topik sembang-sembang selepas demonstrasi, idea itu kini telah dilontarkan ke khalayak ramai.

Saya menyokong cadangan Dr. Asri itu. Seperti yang beliau sendiri sebutkan, Majlis Fatwa Kebangsaan gagal menjadi badan yang memimpin rakyat dan kebebasannya tersekat.

Kewujudan badan fatwa bebas akan mewujudkan persaingan dalam institusi fatwa di Malaysia, selaras dengan firman Allah yang mahukan kita berlumba-lumba mengerjakan kebajikan.

Hakikatnya, badan fatwa adalah kilang untuk mencerna idea-idea bernas dalam rangka menghasilkan fatwa sebagai produk. Pekerja-pekerja kilang tersebut ialah para ulama yang terpilih.

Sekiranya hanya satu sahaja badan yang memonopoli proses pengeluaran fatwa, maka akhirnya mereka akan menjadi acuh tak acuh dalam menjalankan tugas. Apatah lagi jika para pekerjanya merasakan bahawa pekerjaan mereka sentiasa selamat, atau masyarakat tidak mempunyai pilihan selain daripada menerima bulat-bulat apa yang mereka keluarkan.

Akibatnya akan keluarlah pandangan-pandangan yang kualitinya boleh dipersoalkan, seperti mana beberapa fatwa yang dikeluarkan baru-baru ini. Mujurlah Perdana Menteri dan Raja-Raja menyelamatkan keadaan.

Apabila ada persaingan, badan-badan fatwa ini akan lebih berhati-hati mengeluarkan pandangan agar 'produk' mereka berkualiti tinggi dan wibawa 'kilang' juga tidak tercalar.

Saya ada bertanya Dr. Asri apa yang beliau maksudkan sebagai 'badan bebas.' Menurut beliau, 'badan bebas' bermaksud tidak terikat dengan mana-mana kepentingan atau kuasa yang lebih tinggi.

Apa yang saya faham, ini bermaksud badan fatwa itu boleh mengeluarkan pandangan dalam apa-apa isu yang mereka mahu, tanpa perlu merujuk kepada kuasa atasan. Sandaran mereka adalah hujah berteraskan al-Quran dan hadis semata-mata.

Saya setuju bahawa kebebasan ini penting kerana kadang kala mereka yang bertanggungjawab mengawasi majlis-majlis fatwa rasmi ini pun sebenarnya jauh daripada Islam yang tulen. Peranan mereka dalam pentadbiran agama semata-mata kerana jawatan yang dipegang, bukan kerana keilmuan atau pengamalan.

Pandangan seumpama yang dilontarkan oleh Dr. Asri pasti akan mengundang kontroversi dalam negara kita. Bagaimana kedudukan Majlis atau Jabatan Agama Islam? Bagaimana kedudukan Majlis Fatwa Kebangsaan?

Apa kedudukan Raja-Raja Melayu yang turun temurun memegang jawatan sebagai ketua agama? Bagaimana jika fatwa yang dikeluarkan mengundang polemik baru? Di mana kedudukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)?

Pasti kita memerlukan masa lebih panjang untuk membicarakan semua ini. Jangan tergesa-gesa untuk mengubah segala-galanya. Apa yang penting sekarang ialah perbahasan awam yang matang dan sihat.

Cadangan Dr. Asri ini juga menjemput kita untuk mengimbau status institusi wakaf di negara kita. Badan fatwa bebas yang dicadangkan oleh Dr. Asri hanya akan berjaya jika wujud pertubuhan-pertubuhan wakaf yang kuat.

Hampir semua wakaf di Malaysia ditadbir oleh kerajaan. Seperti mana monopoli telah membawa kesan negatif kepada institusi fatwa kita, monopoli juga telah melemahkan institusi wakaf kerana tidak wujud persaingan untuk menjadi yang terbaik.

Ini bukan salah pihak berkuasa. Apa-apa institusi sekalipun akan menjadi lemah sekiranya tidak wujud persaingan yang sihat.

Maka tidak pelik jika Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Datuk Sohaimi Mohd Salleh berkata bahawa beliau teruja dengan kekuatan kewangan endowment di Universiti Harvard.

Model yang mereka gunakan amat mirip dengan model wakaf dalam Islam. Dana mereka mencecah RM$65 bilion, lebih banyak daripada jumlah pakej rangsangan ekonomi seluruh Malaysia!

Situasi tersebut hanya wujud di negara yang membebaskan wakaf dan endowment daripada belenggu birokrasi dan pengaruh politik.

Institusi wakaf juga perlu digalakkan berfungsi dengan bebas agar mereka boleh membiayai kerja-kerja organisasi yang sesuai, seperti badan fatwa bebas yang dicadangkan oleh Dr. Asri.

Negara kita kini semakin dewasa. Saya harap kita boleh membincangkan pandangan bekas mufti tersebut sebagai orang dewasa, tanpa dipengaruhi oleh emosi atau sentimen yang melulu. Hujah dan dalil mesti dijadikan sandaran utama.

WAN SAIFUL WAN JAN ialah Ketua Pengarah Malaysia Think Tank dan kini menetap di London

Sunday, 5 April 2009

Masalah khilaf

“Tidak boleh ingkar masalah khilaf”. Inilah ungkapan yang kadangkala membantut sesuatu perbincangan atau penilaian terhadap kesahihan sesuatu pendapat atau amalan. Kata-kata ini kerap dijadikan benteng untuk mempertahankan satu-satu pendapat sekalipun pendapat itu tidak muktabar dalam syariat. Ungkapan “Tidak boleh ingkar masalah khilaf” sangat masyhur, sehingga sebahagian ulama menjadikannya sebagai satu kaedah dalam feqah dan memasukkannya dalam karangan-karangan tentang qawaed feqah. Tetapi sebahagian kita memahaminya dengan cara yang silap. Kononnya asalkan ia dikira sebagai satu pendapat, maka automatik permasalahan tersebut dilabelkan sebagai permasalahan khilaf yang tidak boleh diingkari.

Kesilapfahaman terhadap kaedah ini berpunca daripada kekaburan antara masalah khilaf yang harus diperselisihkan dan masalah khilaf yang tidak harus diperselisihkan. Atau dengan kata lain, perbezaan antara khilaf yang muktabar dan khilaf yang tidak muktabar.

Al-Imam Al-Izz Ibn Abd Al-Salam memperincikan perbezaan antara dua jenis khilaf ini. Beliau menyebut:

“Orang yang mengambil pendapat yang diperselisihkan, terdapat dua situasi.

Pertama: Masalah khilaf itu ialah masalah yang mesti dibatalkan hukumnya. Dalam permasalahan ini tidak ada jalan untuk bertaqlid padanya disebabkan ia adalah satu kesilapan semata-mata…

Kedua: Masalah khilaf itu ialah masalah yang tidak dibatalkan hukumnya. Maka tidak salah melakukannya atau meninggalkannya, jika seseorang itu bertaqlid dengan sebahagian ulama.” (Al-Qawaed Al-Kubra 2/371).

Daripada kenyataan Al-Imam Al-Izz, kita mendapati ada pembahagian masalah khilaf kepada khilaf yang tidak harus, dan khilaf yang harus. Jadi, sebelum mengingkari sesuatu masalah atau melarang orang lain mengingkari sesuatu masalah, kita terlebih dahulu mesti dapat membezakan antara dua jenis khilaf ini. Kemudian, perlu mengkaji pula adakah sesuatu masalah itu termasuk dalam jenis yang pertama atau kedua. Selepas itu barulah boleh diaplikasikan kaedah ‘Tidak Boleh Diingkari Masalah Khilaf” secara betul.

Khilaf Yang Tidak Muktabar

Pendapat yang tidak muktabar ialah pendapat yang sudah jelas kebatilannya, dan dipastikan kesilapannya berdasarkan dalil-dalil yang sahih dan nyata. Lalu kita putuskan bahawa ia adalah pendapat yang silap tanpa ada sebarang keraguan.

Khilaf jenis inilah yang dimaksudkan oleh Imam Syafie dalam kitabnya Al-Risalah:

“Aku (Al-Syafie) berkata: Khilaf terdapat dua jenis. Pertama: Khilaf yang haram. Dan aku tidak mengatakannya (haram) dalam jenis yang satu lagi”.

Imam Syafie juga memperincikan apakah maksud khilaf yang haram, dengan kata-katanya:

“Setiap perkara yang telah Allah dirikan hujah dengannya di dalam kitabNya, atau di atas lidah NabiNya secara nas yang jelas, maka tidak halal berselisih pendapat padanya bagi orang yang mengetahuinya”. (Al-Risalah: 1/560).

Khilaf yang tidak muktabar seperti ini mestilah diingkari dan diperjelaskan kedhaifan atau keganjilannya, serta diterangkan kesahihan pendapat yang lain dengan hujah. Jadi, kaedah “Tidak boleh ingkar masalah khilaf” tidak meliputi jenis khilaf ini.

Khilaf Yang Muktabar

Setelah kita mengenali khilaf yang tidak muktabar, kita dapat mengenali khilaf yang muktabar. Iaitu masalah-masalah yang dibenarkan berijtihad padanya. Secara dasar, dalam masalah-masalah yang khilafnya muktabar, diharuskan berpegang kepada mana-mana pendapat samada melalui pentarjihan dengan dalil, atau taqlid kepada ulama yang muktabar.

Merujuk kepada jenis khilaf ini, Sufyan Al-Tsaury berkata, “Apa-apa yang diperselisihkan oleh fuqaha, aku tidak melarang seorang pun dari kalangan sahabat-sahabatku untuk berpegang dengannya”. (Al-Faqih Wa Al-Mutafaqqih 2/69).

Ibn Taimiyyah berkata, “Dalam masalah-masalah ijtihadiyyah, sesiapa beramal dengan pendapat sebahagian ulama, tidak boleh diingkari”. (Majmuk Fatawa 20/207).

Jadi, kita boleh simpulkan bahawa bukan semua permasalahan khilaf tidak boleh diingkari. Ada masalah khilaf yang boleh malahan mesti diingkari, dan ada masalah khilaf yang tidak boleh diingkari, iaitu masalah-masalah ijtihadiyyah.

Di samping itu, mengingkari masalah-masalah khilaf yang tidak muktabar bukan bermaksud mencerca dan mencaci pendapat dhaif tersebut. Bukan juga dengan cara merendah-rendahkan martabat ulama yang mengeluarkan pendapat tersebut. Tindakan seperti ini bukan disiplin yang diajar oleh agama dalam mengingkari sesuatu yang salah.

Maksud mengingkari pendapat yang tidak muktabar ialah menerangkan kedhaifan dan keganjilan pendapat tersebut, disamping menyatakan pendapat yang sahih beserta hujah-hujahnya. Dan ia mestilah dilakukan secara beradab dan ilmiyyah.

Wallahu A’lam.


Abu Umair

Upah?

Para ulama berselisih pendapat tentang boleh atau tidak mengambil upah dari mengajar Al-Quran. Sebahagian ulama berpendapat boleh mengambil upah dari mengajarkan Al Quran berdasarkan dalam sahih Bukhari:

“Yang paling berhak untuk kalian ambil upahnya adalah mengajar Kitab Allah”[1]

Dan ada yang mengatakan: jika ditentukan jumlahnya, maka tidak boleh. Pendapat ini dipilih oleh Al Halimi. Abu Laits berkata dalam kitab “Al Bustan”[2]

Mengajar dilakukan dengan tiga bentuk: Pertama: dengan tujuan untuk beribadah saja, dan tidak mengambil upah. Kedua: mengajar dengan mengambil upah. Ketiga: mengajar tanpa syarat, dan jika ia diberikan hadiah ia menerimanya.

Yang pertama mendapatkan pahala dari Allah SWT, kerena itu adalah amal para Nabi a.s.
Kedua diperselisihkan. Sebahagian ulama mengatakan: tidak boleh, dengan dalil sabda Rasulullah SAW:“Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat” [3].Sementara sebahagian ulama lain berkata: Boleh. Mereka berkata: yang paling utama bagi seorang pengajar adalah tidak menentukan bayaran untuk menghafaz dan mengajar, dan jikapun ia menentukan bayaran itu maka aku harapkan agar tidak dilarang, kerana ia memerlukanya [kemaslahatan].
Sedangkan yang ketiga: dibolehkan oleh seluruh ulama kerana Nabi Saw adalah pengajar manusia, dan beliau menerima hadiah mereka. Dan dengan dalil tentang seseorang yang tersengat haiwan berbisa, kemudian dibacakan surah Al Fatihah oleh sebahagian sahabat, dan orang itu selanjutnya memberikan hadiah beberapa ekor kambing atas perbuatan sahabat itu, dan setelah mengetahui itu Nabi Muhammad Saw bersabda:
“Berikanlah aku bahagian dari hadiah itu “ [4] Tamat.[5]

Dalam hadits lain Rasulullah SAW membolehkan pengajaran itu dijadikan sebagai mas kahwin bagi seorang wanita. Iaitu saat Nabi Muhammad Saw memerintahkan sahabat itu untuk mencari sesuatu yang dapat dijadikan mas kahwin bagi sahabat itu, hingga sebentuk cincin dari besi sekalipun. Kemudian Rasulullah SAW menanyakan surah apa yang ia boleh dibaca. Ia memberitahukan beberapa surah yang ia hafaz. Selanjutnya Rasulullah SAW bersabda kepada sahabat itu:

“Pergilah, aku telah sahkan perkawinanmu dengan mas kawin mengajar Al Quran yang engkau hafaz” [6]

Ertinya dengan pengajaran Al Quran yang engkau lakukan kepada wanita itu.

Ini semua adalah dalam masalah pengajaran Al Quran. Sedangkan membacanya tidak boleh menarik upah, kerana hukum asal dalam membacanya adalah ibadah, dan dasar bagi seorang yang beribadah adalah agar ia beribadah bagi dirinya, maka bagaimana mungkin ia kemudian mengambil upah kepada orang lain dari ibadah yang ia lakukan kepada Rabb-nya, sementara ia mengerjakan itu semata untuk mendapatkan pahala dari Allah SWT?!

Abdurrahman bin Syibl meriwayatkan dari Nabi Saw, bahwa beliau bersabda:

“Bacalah Al Quran, amalkanlah isinya, jangan kalian menjauh darinya, jangan berlaku khianat padanya, jangan makan dengannya, dan jangan mencari kekayaan dengannya” [7]

Imran bin Husain meriwayatkan dari Nabi Muhammad Saw beliau bersabda:

“Bacalah Al Quran dan mintalah kepada Allah SWT dengan Al Quran itu, sebelum datang kelompok manusia yang membaca Al Quran, kemudian meminta [upah] kepada manusia dengan Al Quran”[8]

Sedangkan jika pembaca Al Quran diberikan sesuatu sedeqah, atau pemberian, maka tidak mengapa jika ia menerimanya, insya Allah.

Tamat petikan.

Bagi penulis lebih cenderung dengan pendapat kedua dan ketiga. Ia bukan sahaja boleh merujuk upah mengajar al-Quran tetapi kepada semua pengambilan upah seperti mengajar al-Quran, Ilmu agama, Imam, Muazzin dan sebagainya. Ini berdasarkan apa yang difatwakan oleh “Majma’ al-Fiqh al-Islami ” [9] iaitu:

Jika tidak mengambil upah, nescaya meraka tidak akan mempunyai sumber untuk menyara kehidupan mereka. Jika perkara itu berlaku, agama Islam akan semakin dilupakan. Oleh itu, untuk menjaga kesinambunagn agama Islam, para ulama Mazhab Hanafi telah membenarkan golongan ini mengambil upah. Para ulamak dari pada pelbagai mazhab juga telah mengambil pendapat ini demi menjaga kemaslahatan agama.

Ustaz Maszlee Malik mengatakan ulamak yang mengharamkan perbuatan itu kerana ia termasuk dalam amal ibadah dan tidak boleh diberikan upah. Pendapat ini disokong oleh polisi negara islam terdahulu yang menyara para pengajar al-Quran, fardu ‘ain, fardu kifayah, imam, muazzin dan sebagainya. Namun begitu, pendapat ini tidak lagi relevan apabila negara-negara Islam moden sudah tidak lagi menanggung mereka. [10]

Wallahua'lam

Rasulullah sedia tiga panduan lengkap cara membina ummah

KELAHIRAN Rasulullah SAW membawa risalah berasaskan dasar yang utuh dan kehadirannya membawa rahmat untuk sekalian alam. Justeru, umat Islam perlu faham rahmat itu dengan mengkaji risalah Nabi Muhammad SAW serta mengamalkan dalam kehidupan seharian. 

Mengingati Rasulullah SAW sekali setahun ketika 12 Rabiulawal (berdasarkan pendapat masyhur mengenai tarikh kelahiran Baginda SAW) atau 9 Rabiulawal (pendapat sahih) saja tidak memadai. 

Pensyarah Jabatan al-Quran dan Hadis Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Fauzi Deraman, berkata risalah Nabi Muhammad SAW yang kekal hingga hari ini sebaliknya perlu menjadi panduan sepanjang masa.

Katanya, Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW sudah jelas dan ada asas lengkap kerana Baginda yang mempatenkan wahyu Allah supaya dapat difahami dengan mudah serta dipraktikkan umat Islam dalam hidup mereka. 


“Allah kata dirikan solat tetapi tidak diberitahu bagaimana dan bila. Begitu juga dengan suruhan tunaikan haji. Semua itu tunjukkan Rasulullah SAW dan wajar ia menjadi panduan kekal,” katanya. 

Beliau menyampaikan ceramah pada majlis sambutan Maulidur Rasul anjuran Jabatan Agama The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di surau NSTP, Balai Berita, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr Fauzi turut menggariskan tiga asas lengkap yang dianjurkan Islam dan dibawa Rasulullah SAW sebagai panduan untuk membangunkan masyarakat baru iaitu iman (akidah), ilmu yang betul dan harta. 

Beliau berkata, iman adalah tonggak usaha pembangunan umat Islam kerana akidah boleh menjadi benteng menghadang perbuatan melampaui batas dan tanpanya apa juga dilakukan tidak menghasilkan keputusan diharapkan. 

Justeru, katanya, pandangan Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai akidah perlu dijadikan teras supaya setiap tindakan yang diambil berpandukan ajaran yang benar bukan dibuat tanpa sebab atau matlamat. 

“Al-Qaradawi berkata akidah dalam Islam mudah dengan syarat umat Islam faham. Akidah bermakna beriman dengan Allah dan caranya ialah memahami apa yang Allah ceritakan. Semua itu ada dalam wahyu diturunkan.

“Contohnya surah al-Ikhlas yang menceritakan keesaan Allah. Jika kita faham ayat itu, ia bukan sekadar percaya wujudnya Allah tetapi seruan mengabdikan diri kepada Allah dan hukum hakam syarak yang dibina atas tuntutan itu,” katanya. 

Asas kedua dalam pembinaan umat Islam ialah ilmu yang diamalkan secara betul mengikut syariat dan ketiganya, harta yang dibelanjakan ke jalan diredai Allah. 

Dr Fauzi berkata, ilmu yang dipelajari perlu menjurus seseorang itu kepada melakukan kebaikan dengan dia tahu apa dihalalkan serta diharamkan kerana ilmu yang ada tidak akan memberi manfaat jika disalah guna. 

Begitu juga dengan harta kekayaan kerana Islam tidak menghalang umatnya mencari kekayaan dan tidak memusuhi kekayaan dengan syarat rezeki diperoleh dibelanjakan secara berhemat, tidak berlaku pembaziran. 

“Kita perlu pandai urus kekayaan kerana kita akan ditanya dari mana kekayaan itu dan dibelanjakan untuk apa. Hakikatnya, risalah Islam dibawa Rasulullah SAW sudah jelas dan kita hanya perlu ikut panduan diberi,” katanya.



Hasliza Hassan; berita harian

Gabungan umarak, ulama mantapkan kepemimpinan negara

KEPEMIMPINAN adalah proses dan pelaksanaan kepimpinan untuk melahirkan individu yang dapat memantapkan sikap serta pandangan daripada segi mental, fizikal dan kewajipan. Melalui proses kepemimpinan itu akan menentukan sama ada rakyat yang dipimpin itu baik atau sebaliknya. Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim Institut Islam Hadhari (Hadhari) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Ismail Ibrahim, berkata kepemimpinan Islam ialah terjemahan perlakuan sejauh mana pemimpin dan pengikutnya mengamalkan ajaran Islam secara keseluruhan.


“Kepemimpinan Islam ertinya menjawab persoalan bagaimana Islam dapat dihayati dan dipraktikkan dalam masyarakat, bagaimana ajaran Islam dapat memberi warna, bentuk, corak dan arah kepada pemimpin itu.

“Penghayatan ajaran Islam secara keseluruhannya juga memperlihat kepemimpinan itu mampu mengubah pandangan atau sikap serta cara hidup kelompok di bawah pimpinannya terutama dalam mewujudkan perubahan yang sudah lama terbentuk dalam masyarakat hingga hari ini,” katanya ketika menyampaikan ceramah pertamanya sejak menyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim HadhariI pada Julai 2008, bertajuk ‘Kepemimpinan Dunia Islam: Krisis dan Cabaran, di UKM, baru-baru ini. 


Katanya, kepemimpinan Islam perlu menggabungkan pemimpin formal dan tidak formal atau umarak dan ulama kerana mereka saling berkait serta ada peranan penting dalam kepemimpinan mereka. 

Peranan penting kepemimpinan ditegaskan Rasulullah SAW dalam sabda bermaksud: “Ada dua kelompok manusia, jika kedua-duanya baik, maka masyarakat akan jadi baik, dan jika kedua-duanya rosak, maka masyarakat akan rosak, mereka itu ialah umara dan ulama.” Hadis riwayat Ibn Abdul Barr)

Bagaimanapun kata Ismail, masyarakat negara ini cenderung berpendapat ulama adalah golongan bijak pandai berdasarkan pengertian perkataan itu yang dipinjam daripada bahasa Arab bermaksud ilmuwan yang boleh memberi nasihat daripada pelbagai sudut. 

Kebelakangan ini negara memperlihatkan kecenderungan untuk menggabungkan ulama agama dalam kepemimpinan dan tindakan itu membuktikan lulusan agama turut memainkan peranan penting dalam kepemimpinan negara. 

“Mereka harus menjadi penasihat yang baik kepada kerajaan. Jika digabungkan ulama dan umarak, kepemimpinan akan menjadi lebih mantap dan masyarakat dapat dipandu dengan berkesan,” katanya. 

Namun katanya, pemerintah perlu tahu siapa ulama buruk dan baik kerana yang buruk boleh membawa kepincangan dalam kepemimpinan dan begitulah sebaliknya.

Petikan hadis menyatakan komponen kekuatan negara berdasarkan empat perkara iaitu ilmu ulama, keadilan umarak, kemurahan hartawan dan doa fakir. Kepemimpinan adalah amanah Allah, oleh itu pemimpin wajib memandu pengikutnya, melindungi dan menguruskan mereka dengan adil menurut lunas diredai Allah. 

Katanya, pemimpin perlu mendidik diri mereka dulu, mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya, meningkatkan nilai moral serta akhlak sebelum mendidik pengikut atau memperbetulkan orang lain. Islam menggariskan banyak prinsip bagi kepemimpinan Islam dan ciri perlu ada pada pemimpin antaranya kuat dalam akidah, adil dan jujur, berpandangan luas serta tidak fanatik, mengutamakan kepentingan rakyat dan mampu mewujudkan kerjasama dengan rakyat. Pemimpin juga perlu bersikap terbuka dalam menerima pandangan, pemaaf serta memiliki sikap toleransi, berpengetahuan dan memiliki kemampuan dalam bidang kepemimpinan selain bertanggungjawab, amanah, telus dan tidak mementingkan diri sendiri. 

Ismail berkata, kegagalan kepemimpinan berlaku jika tidak mempunyai ciri pemimpin ideal kerana rakyat mengikut kata pemimpin dan mereka gambaran sebenar kepada kepemimpinan. Bagaimanapun katanya, mungkin tidak semua ciri itu ada dalam diri pemimpin tetapi mereka perlu berusaha memiliki seberapa banyak nilai baik supaya dapat dijadikan contoh. 

“Simbol kepemimpinan Islam harus dipraktikkan pemimpin supaya yang dipimpin juga mengamalkan ajaran Islam sebenar,” katanya. 

Beliau berkata, kepemimpinan Islam juga menghadapi kegagalan apabila terhakis keupayaan menentang aliran melampau ikhtilaf mazhab, ideologi pemikiran liberal mengenai agama, golongan menafikan ijmak ulama dan hambatan bukan Islam yang jahil mengenai Islam. 

Katanya, kini ada yang mencabar ajaran Islam melalui pelbagai cara termasuk penggunaan nama Allah dan setiap usaha mengandungi agenda tersembunyi itu perlu ditangani pemimpin. Walaupun Malaysia negara kecil, banyak perkara positif disuarakan menjadi contoh kepada negara Islam lain seperti kebangkitan Islam, kemajuan teknologi dan peningkatan ekonomi. 

Apa yang boleh dilakukan ialah mengkaji kelemahan kepemimpinan dunia Islam supaya dapat menghasilkan perubahan dan pucuk kepemimpinan dalam lapisan pemimpin akan datang. 

“Potensi kita ada dari segi ilmiah untuk mencetuskan idea yang baik dan tiba masanya memperbaiki kelemahan. Semua ini bersumberkan ilmu yang mesti menjadi agenda kepada umarak dan ulama,” katanya.


Hasliza Hassan; berita harian

Gambar

Gambar-gambar merupakan salah satu perhiasan utama bagi kebanyakan tempat sama ada gambar fotografi atau gambar yang dilukis. Jika kita lihat di bangunan-bangunan awam, di hotel-hotel atau di rumah-rumah, gambar sebagai perhiasan pasti ada digantung-gantung di dinding-dinding. Apakah hukumnya mengantung perhiasan-perhiasan yang berupa lukisan ataupun gambar di dinding-dinding kediaman kita. Atau apakah pula hukum bagi pelukis lukisan tersebut.

Hukum mengenai lukisan ini, ulama memberikan hukum yang berbeza-beza berdasarkan kepada cir-ciri yang terdapat pada sesuatu lukisan tersebut. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa gambar dan lukisan yang mempunyai roh sama ada manusia atau haiwan, berjisim atau tidak dan dihormati ataupun tidak dihormati. Manakala sebahagian ulama salaf pula menghukumkan haram hanya ke atas gambar yang timbul , berjisim serta mempunyai bayang-bayang yang disebut sebagai patung manakala gambar yang tidak berbayang adalah diharuskan. Sedangkan Dr Yusuf al-Qardawi pula menyatakan bahawa haram pada gambar yang dipahat atau diukir yang mempunyai jisim dan gambar yang mendatar yang dilukis di atas kertas dinding, kayu pula adalah makruh tanzih.

Yang jelasnya pengharaman ke atas sesuatu gambar itu berlaku sekiranya terdapat unsur-unsur berikut pada gambar tersebut iaitu:

Lukisan tersebut sama ada hidupan bernyawa atau tidak, sempurna atau tidak yang mengandungi unsur-unsur dan tujuan syirik seperti lukisan lembu sembahan masyarakat Hindu, lukisan bunga teratai, lukisan salib, nazi, zionis, yin dan yan, atau apa-apa yang berkaitan dengan sembahan agama lain hukumnya adalah haram.

Seterusnya lukisan lengkap terhadap sesuatu hidupan yang bernyawa yang cukup anggotanya seolah-olah bertujuan menandingi Allah dalam dalam kuasa penciptaan makhluk maka hukumnya adalah haram seperti lukisan haiwan yang menonjol lukisannya, warnanya dan anggotanya sehinggakan hampir sama dengan haiwan yang sebenar.

Kemudian lukisan yang mengandungi unsur-unsur kehebatan dan kebesaran sama ada bernyawa atau tidak, sempurna atau pun tidak maka hukumnya juga adalah haram. Seperti gambar pembesar yang dibuat dengan niat utuk bermegah dengan pingat dan anugerah kebesarannya dan tambahan pula ianya dipamerkan dikhalayak ramai untuk tujuan kemegahan.

Manakala lukisan yang makruh pula adalah seperti berikut:

Lukisan yang berkaitan dengan hidupan tetapi bukan dalam keadaan yang sempurna seratus peratus dengan imej yang sebenar seperti lukisan kartun atau animasi.

Dan lukisan yang yang dilukis berkisar mengenai hidupan yang tidak bernyawa seperti pokok, sungai, batu, gunung, awan, padang, hutan-hutan dan lain-lain adalah diharuskan malah bagus untuk tujuan merehatkan minda sekiranya melihat kepada lukisan tersebut dan selagi mana ianya tidak melebihi daripada keperluan.

Mengenai masalah fotografi pula, ulama kontemporari kebanyakannya mengharuskan kerana ianya adalah salah satu peroses yang bukan seperti memahat atau melukis gamabar yang bertujuan untuk menandingi kuasa ciptaan Allah. Syeikh Muhammad Bakhit berfatwa “bahawa fotografi itu adalah penahanan bayangan dengan menggunakan suata alat yang telah dikenal oleh ahli-ahli (tukstel). Cara seperti ini tidak ada larangan sedikitpun. Kerana larangan menggambar, iaitu mengadakan gambar yang sebelumnya tidak ada dan belum dibuat sebelumnya yang boleh menandingi (makhluk) ciptaan Allah. Sedangkan pengertian seperti ini tidak terdapat pada gambar yang diambil dengan menggunakan tukstel atau kamera”.

Malah Dr Yusuf al-Qardawi juga bersetuju dengan pendapat ini dan memasukkannya di dalam bukunya halal dan haram di dalam Islam.

Pada perinsipya hukum berfotografi adalah harus tetapi perlu diingat selagi mana ianya tidak mengandungi unsur-unsur lain yang boleh menyebabkan perkara tersebut bertukar menjadi kepada perkara yang diharamkan. Seperti mengambil gambar seseorang tokoh lalu diagungkannya maka disini hukum fotografi tersebut berubah menjadi haram, begitu juga dengan gambar-gambar wanita atau lelaki yang berbogel atau separuh bogel, mendedahkan aurat mereka atau menampakkan sebahagian badan mereka yang boleh menyebabkan naiknya syahwat seperti yang banyak terjadi pada zaman sekarang yang mana ianya banyak dimuatkan pada majalah-majalah, surat khabar malah dipanpan-papan iklan yang besar yang ditayang dan ditonton oleh khalayak umum yang sengaja dilakukan untuk menarik minat pembeli maka hukum fotografi seperti ini juga adalah diharamkan walaupun pada asalnya ia adalah harus.

Begitu juga ingin menyentuh mengenai televisyen yang mana merupakan satu medium yang amat penting pada zaman ini dalam penyaluran maklumat semasa. Adakah televisyen ini dilarang secara mutlak malah tidak dibenarkan langsung untuk menontonnya? Ini semua bergantung kepada penguasaan diri masing-masing. Manusia adalah tuan kepada dirinya sendiri yang mana setiap masa membuat keputusan untuk dirinya dalam menempuh perjalanan hidupnya sebagai sebahagian ahli masyarakat dan juga sebagai seorang muslim. Televisyen tidaklah dilarang secara mutlak akan tetapi ianya menjadi terlarang dan tidak halal kerana cara penggunaannya yang tidak halal. Umpama sebilah pedang, ianya menjadi sangat bermanfaat kepada agama dan diri sendiri apabila berada ditangan seorang mujahid atau pembela agama dan menjadi bencana apabila ia berada ditangan seorang pemberontak atau penyamun. Dari sini kita melihat televisyen dapat memberikan pembangunan syakhsiah dan pembentukan jiwa keislaman sekiranya ianya dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Tetapi sebaliknya jika kita lihat sekarang rancangan-rancangan di televisyen banyak menyiarkan cerita-cerita yang tersasar dari kesopanan ajaran Islam itu sendiri seperti cerita-cerita dari barat yang banyak mengisahkan percintaan yang melampau, mengajar perempuan cara berfesyen ikut cara ‘moden’, mengajar ‘tidak salah’ lelaki dan perempuan yang bukan mahram berdua-duaan berjanji setia sehidup semati. Ini semua adalah budaya-budaya karat yang patut dijauhi oleh orang Islam kerana ianya jauh dari ajaran Islam yang lurus. Oleh itu tidak hairan jika ada individu yang melarang anak-anak mereka menonton televisyen kerana mereka melihat bencana yang dibawa oleh televisyen lebih banyak dari kebaikan. Walau apa pun, kita perlu lebih mengambil sikap berhati-hati dengan rancangan yang disiarkan oleh televisyen sebagai langkah berjaga-jaga dari terpengaruh oleh budaya-budaya yang dibawa oleh cerita-cerita dari barat. Disimpulkan tidaklah salah untuk menonton televisyen selagi mana dapat menjaga diri dari terpengaruh dengan budaya yang melencong dari ajaran Islam yang murni dan selagi mana rancangan yang disiarkan tidak berunsur maksiat yang mendedahkan aurat dan menaikkan syahwat dan tidak disertai dengan majlis-majlis yang berunsur maksiat seperti terjadinya percampuran yang bebas dan persentuhan lelaki dan perempuan atau terdapat majlis arak.

Begitu juga dengan menonton wayang, ianya bukanlah satu perbuatan yang keji selagi mana seseorang tetap dapat menjaga adab dan kesopanan sebagai seorang muslim, selagi mana filem yang ditonton tidak mengandungi unsur maksiat, dapat melahirkan keinsafan dan menjernihkan aqidah Islam, tidak mengajar kepada perkara yang bertentangan dengan akhlak seorang muslim seperti mengajar mencuri, mengajar menderhaka kepada ibu bapa dan sebagainya. Selain itu, seseorang tidak boleh lalai dan melupakan tangungjawab sebagai seorang Islam iaitu tidak meninggalkan kewajiban bersolat dan sebagainya. Dan yang paling penting tidak terjadi persentuhan di antara lelaki dan perempuan dan percampuran rambang antara lelaki dan perempuan, lebih-lebih lagi wayang tidak dapat dilakukan kecuali ditempat gelap.

Wallahu a‘lam


mohd zakaria mahadi

Valentine

Asal-usul Valentine

Tindakan mengaitkan pertengahan bulan Februari dengan cinta dan kesuburan sudah ada sejak dahulukala. Menurut tarikh kalender Athena kuno, periode antara pertengahan Januari dengan pertengahan Februari adalah bulan Gamelion, yang dipersembahkan kepada pernikahan suci Dewa Zeus dan Hera.

Di Roma kuno, 15 Februari adalah hari raya Lupercalia, sebuah perayaan Lupercus, dewa kesuburan, yang dilambangkan setengah telanjang dan berpakaian kulit kambing. Sebagai bagian dari ritual penyucian, para pendeta Lupercus meyembahkan korban kambing kepada sang dewa dan kemudian setelah minum anggur, mereka akan lari-lari di jejalanan kota Roma sembari membawa potongan-potongan kulit domba dan menyentuh siapa pun yang mereka jumpai. Terutama wanita-wanita muda akan maju secara sukarela karena percaya bahwa dengan itu mereka akan dikarunia kesuburan dan bisa melahirkan dengan mudah. (http://id.wikipedia.org/wiki/Hari_Valentine)

 

Justeru, secara ringkasan saya boleh simpulkan seperti berikut :-

 

1) Perayaan dalam Islam telah disebutkan oleh Nabi iaitu dari sabdaan Nabi SAW :

(إن لكل قوم عيدا وإن هذا عيدنا)

Ertinya : Sesungguhnya bagi setiap kaum itu perayaan masing-masing, dan ini (IdilFitri dan Idiladha) adalah perayaan kita" ( Riwayat AL-Bukhari, 952 ; Muslim, 1892)

Justeru, sebarang perayaan yang disambut oleh umat Islam mestilah terhad kepada dua perayaan ini sahaja.

Bagaimanapun, jika sesuatu majlis, keraian dan sambutan itu dianjurkan bukan atas asas atau nama agama serta tiada kaitan dengannya bahkan dibuat atas dasar adat semata-mata. Ianya boleh dan harus diraikan dengan syarat sambutannya tidak diserapi apa jua unsur maksiat dan syirik. Sebagai contoh sambutan kemerdekaan Negara, sambutan ulangtahun penubuhan sesebuah syarikat dan sebagainya. Cuma ia bukanlah disambut sebagai hari raya ketiga atau keempat, tetapi hanya sebagai majlis keraian setaraf dengan majlis perkahwinan dan sepertinya sahaja.

Ini bermakna, tujuan dan asal usul perayaan itu perlulah disemak. Maka jika disemak perayaan Valentine ini. Ternyata ia berasal dari cerita dongeng, karut dan syirik berakitan dewa dan sebagainya.

 

2) Tidak harus pula meniru orang Kafir dan ahli maksiat dalam meraikan majlis yang dianjurkan. Imam Ibn Taymiah dan Ibn Qayyim telah menyebut bahawa telah Ijma' (sepakat keseluruhan Ulama) melarang penyerupaan dalam meraikan perayaan agama ( atas asas agama) selain Islam. ( Iqtidha, 1/454 ; Ahkam Ahli Zimmah, 2/722)

 

3) Islam tidak mengiktiraf hari kasih sayang. Kasih sayang dalam Islam bersifat universal, tidak dibatasi waktu dan tempat dan tidak dibatasi oleh objek dan motif. Hal ini sesuai dengan hadis :

"Cintailah saudara seislam seperti kamu mencintai dirimu sendiri." (Riwayat Bukhari).

Islam sangat melarang keras untuk saling membenci dan bermusuhan, namun sangat menjunjung tinggi akan arti kasih sayang terhadap umat manusia.

Rasulullah saw. bersabda : "Janganlah kamu saling membenci, berdengki-dengkian, saling berpalingan, dan jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Juga tidak dibolehkan seorang muslim meninggalkan (tidak bertegur sapa) terhadap saudaranya lebih dari tiga hari" (Muslim)

Kasih sayang dalam Islam diwujudkan dalam bentuk yang nyata seperti silaturahmi, menjenguk yang sakit, meringankan beban tetangga yang sedang ditimpa musibah, mendamaikan orang yang berselisih, mengajak kepada kebenaran (amar ma'ruf) dan mencegah dari perbuatan munkar

 

4) Sambutan hari Valentine hari ini menjadi semakin terkeji apabila ia menjurus kepada perlakuan maksiat, mengadaikan ‘dara' kepada kekasih yang bernafsu ‘syaitan' dan sepertinya.

 

5) Islam juga melarang umatnya dari terlibat, duduk serta bersekongkol dalam majlis yang mempersendakan Islam dan bercanggah dengannya. Ini dari firman Allah yang bererti :

 

وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللّهِ يُكَفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلاَ تَقْعُدُواْ مَعَهُمْ حَتَّى يَخُوضُواْ فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ إِنَّكُمْ إِذًا مِّثْلُهُمْ إِنَّ اللّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا 

"Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al Qur'an bahwa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Karena sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Jahanam" ( An-Nisa : 140 )

Diriwayatkan dari Umar r.a. bahwa dia pernah mendengar Rasulullah s,a.w. bersabda:

"Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhir, maka janganlah duduk pada suatu hidangan yang padanya diedarkan arak." (Riwayat Ahmad)

Maka majlis arak yang haram itu adalah sama hukumnya dengan majlis Valentine yang juga haram.

 

6) Hukum memberikan hadiah sempena hari Valentine juga adalah menjadi haram berdasarkan kaedah dari firman Allah : "Janganlah kamu bantu membantu dalam perkara dosa dan permusuhan"

Bagaimanapun hukum menjual bunga sahaja, ia tidak kurang dari kategori jualan yang syubhah, makruh  atau haram khas di hari Valentine.

Diriwayatkan, ada seorang laki-laki yang memberi hadiah satu bekas arak kepada Nabi s.a.w., kemudian Nabi memberitahu bahwa arak telah diharamkan Allah. Orang laki-laki itu bertanya:

Lelaki: Bolehkah saya jual?

Nabi: Zat yang mengharamkan meminumnya, mengharamkannya juga menjualnya.

Lelaki: Bagaimana kalau saya hadiahkan raja kepada orang Yahudi?

Nabi: Sesungguhnya Allah yang telah mengharamkan arak, mengharamkan juga untuk dihadiahkan kepada orang Yahudi.

Lelaki: Habis, apa yang harus saya perbuat?

Nabi: Tuang saja di dalam parit air. (Al-Humaidi dalam musnadnya)

Justeru, kita dapat melihat bahawa benda yang haram, maka haram juga dijualnya mahupun dihadiahkan. Dalam hal menjual bunga, ia juga boleh menjadi syubhah di hari Valentine seperti ini, kerana diketahui ianya dibeli khas untuk mearikan Valentine yang haram. Seperti juga hokum menjual anggur kepada tukang buat arak yang telah diketahui. Ia tidak dibenarkan dalam Islam menurut pendapat yang terkuat.

 

7) Dilarang juga saling mengirim ucapan bersempena hari ini.

 

 

Sekian

Ust Zaharuddin

26 Muharram 1428 = 14 Feb 2007