ayat mulia~

"and certainly, We shall test you with something of fear, hunger, loss of wealth, lives and fruits, but give glad tidings to as-Sabirin (the patient ones)-(surah al-Baqarah: 155)
Showing posts with label Umum~. Show all posts
Showing posts with label Umum~. Show all posts

Thursday, 24 December 2009

kuasa

Di dalam kehidupan di dunia ini, terdapat beberapa perkara yang mampu mengubah hati dan perangai manusia. Semua aspek di dalam kehidupannya akan berubah umpama ombak yang merubah pantai, sekali bah tiba terus merubah pepasir di pantai. Namun perlu diingat juga bahawa ejen yang berusaha untuk mengubah tatacara hidup manusia ini kepada perkara negatif adalah syaitan yang betuankan Iblis. Iblis yang telah bersumpah di hadapan Allah untuk akan terus berusaha tanpa mengenal erti emu dan mengalah menggoda anak cucu Adam agar terjerumus ke dalam lembah neraka. Tetapi walaupun Iblis dan bala tenteranya tidak mengenal erti jemu untuk terus menerus menggoda dan menyesatkan anak Adam, Allah dengan segala sifat pengampunnya bersedia mengampunkan hamba-hambanya yang tergoda dengan hasutan syaitan malah telah mnegurniakan satu perisai yang sangat ampuh yang tidak mampu ditembusi oleh mana-mana hembusan jahat syaitan iaitu keikhlasan di dalam mengabdikan diri kepada Allah. Diantara sifat-sifat yang mampu mengubah pola kehidupan manusia adalah sombong dan kuasa.

Dua perkara ini iaitu sombong dan kekuasaan boleh berjalan serentak dan mampu juga bergerak berasingan. Sombong boleh diumpamakan seperti serkam padi jika dibakar mampu bertahan dari dalam. Sekiranya ianya sudah berakar umbi di dalam diri maka susah untuk dihilangkan kecuali dengan satu kejutan atau disedarkan dengan satu dugaan yang mempu mematahkan sifat sombongnya. Jika diperhatikan, masyarakat tidak kiralah mana-mana bangsa pasti tidak akan menyenangi orang yang mempunyai sifat ini, kerana sifat sombong bukanlah satu sifat fitrah yang perlu ada pada diri mana-mana manusia bahkan hanya Allah sahaja yang layak memakai pakaian kesombongan kerana hanya Dia yang maha sempurna. Di dalam surah Luqman ayat 18 secara jelas Allah menyebutkan menerusi pesanan oleh seorang hamba Allah yang soleh yang bernama Luqman kepada anaknya Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri”. Justeru mengapa masih ada lagi manusia yang masih mahu mempertahankan tahta kesombongan yang bukan miliknya. Bagi mana-mana individu yang berhajat untuk mempertahankan lagi kesombongan di dalam diri masing-masing maka fikir-fikirkanlah tentang akhirat kerana kita bukan selamanya hidup di dunia dan di akhirat kelak kita sangat memerlukan simpati dari Allah. Justeru jika kita melakukan perbuatan yang tidak disukai Allah maka adakah kita layak untuk meraih simpati Allah. Di dalam hadith daripada Mahmud bin Labid diriwayatkan oleh Ahmad

عَنْ مَحْمُودِ بْنِ لَبِيدٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ قَالُوا وَمَا الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الرِّيَاءُ

Terjemahan: “Sesungguhnya hal yang paling aku takuti menimpamu ialah syirik kecil. Para sahabat bertanya apakah syirik kecik itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab ia adalah riya..”

Mengapa Rasulullah menggelarkan riya atau sombong sebagai syirik. Kerana sifat sombong akan menafikan kekuasaan dan kebesaran Allah sama ada secara langsung atau tidak. Contohnya seseorang yang sombong dengan kekayaan yang ada padanya. Maka sudah pasti sifat sombong akan menyatakan bahawa segala kekayaan adalah hasil usaha dan penat lelah yang telah diusahakannya. Jadi dimana letaknya sikap penghambaan yang sepatutnya menyatakan itu semua adalah kelebihan yang telah dikurniakan oleh Allah kepadanya. Jadi disinilah syirik itu berlaku iaitu ketika mana-mana individu menafikan bahawa sebenarnya Allah yang telah memberikan kekayaan kepadanya dan bukan atas usaha mutlaknya sahaja. Mahukah kita menjadi orang yang melakukan kezaliman yang besar sebagaimana yang telah Luqman nasihatkan kepada anaknya di dalam surah Luqman ayat 13 Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar”. Jadi merilah kita sama-sama bermuhasabah diri untuk memperbaiki diri dan membuang sifat-sifat mazmumah yang telah bersarang di dalam diri kita. Hanya dengan keimnan dan ketaqwaan kepada Allah yang mampu merobek sarang sifat-sifat yang tercela itu dan ditambah dengan keikhlasan yang mampu menggilap cahaya keimanan dan ketaqwaan yang pastinya akan membendung dan menghalang segala sifat tercela yang mahu bersarang di dalam diri.

Kekuasaan pula adalah salah satu faktor yang mungkin datang bergandingan dengan sifat sombong atau juga berjalan sendirian tanpa kesombongan. Namun kekuasaan pada lazimnya akan menjadi tercela dan hina jika beriringan dengan sifat sombong. Marilah kia telusuri sejarah yang telah diceritakan oleh al-Quran di dalam surah al-Dukhan ayat 30-31 “Dan sesungguhnya telah Kami selamatkan Bani Israil dari siksa yang menghinakan, dari (azab) Fir'aun. Sesungguhnya dia adalah orang yang sombong, salah seorang dari orang-orang yang melampaui batas”. Firaun adalah seorang pemerintah yang sangat zalim dan sangat melampaui batas. Ketika itu Allah mengutuskan nabi Musa sebagai rasul yang bertanggungjawab menyeru Firaun kepada kebenaran dan mentauhidkan Allah. Namun ajakan dan dakwah yang diseru oleh baginda ditolak bulat-bulat. Mengapa seruan nabi Musa ditolak oleh Firaun. Hanya kerana dua perkara besar yang telah berkar umbi di dalam dirinya iaitu sifat sombong dan kekuasaan yang ada padanya ketika itu. Firaun memliki empayar yang besar dan kuat ketika itu, dan oleh kerana terlalu merasakan dirinya begitu berkuasa dia telah mengisytiharkan dirinya sebagai tuhan yang patut disembah oleh rakyatnya. Oleh kerana takut kehilangan pengaruh dan kekuasaan Firaun telah mendustakan nabi Musa dan menuduhnya sebagai tukang sihir. Begitulah juga yang terjadi kepada junjungan besar nabi Muhammad ketika baginda didustakan oleh kaum Quraisy dan dituduh sebagai ahli sihir. Tetapi bukan semua individu yang dikurniakan keuasaan oleh Allah diriringi dengan sifat sombong diri. Kekuasaan hanya akan menjadi hina jika digandingkan dengan kesombongan sebaliknya menjadi mulia dan dimuliakan jika pengapitnya adalah keikhlasan dan merendah hati.

Sebagai contoh nabi Sulaiman yang mana empayar dan pemerintahannya bukan sahaja ke atas manusia bahkan burung, jin, semut, tumbuhan dan haiwan-haiwan adalah dibawah kekuasaannya dengan izin Allah. Namun baginda mempamerkan akhlak yang baik dan sentiasa memuji kebesaran Allah dan sentiasa beribadah kepadaNya. Dan kami juga ingin membawakan satu contoh pemimpin yang sangat dan patut diberi pujian dan ketinggian iaitu Ratu kerajaan negeri Saba’ atau yang telah diperkenalkan sebagai Ratu Balqis. Walaupun pada awalnya beliau dan rakyatnya tersesat dan disesatkan oleh syaitan dengan mensyirikkan Allah dengan menyembah matahari namun beliau tidak segan-segan untuk merendah diri dan mengaku kekuasaan Allah dan kerasulan nabi Sulaiman dan beliau beriman kepada Allah. Semua ini diceritakan di dalam surah al-Naml dari ayat 22. Digambarkan oleh al-Quran bahawa singgahsana tempat bersemayamnya ratu adalah singgahsana yang besar dan ni menunjukkan bahawa kerajaan Saba’ bukanlah calang-calang kerajaan tetapi merupakan kerajaan yang kaya dengan hasil negara dan kuat. Tetapi tetap mengalah dengan tuhan yang lebih kaya yang memiliki semua kekayaan. Tidak seperti pemimpin zaman sekarang yang berlagak dengan kuasa yang sedikit. Baru memerintah beberapa penggal tapi hidung lebih tinggi dari pinoccio. Justeru marilah kita renung-renungkan betapa orang yang menghadirkan diri kepada Allah dengan penuh pengharapan dan penghambaan pasti akan mendapat kemuliaan kerana Allah adalah pemilik kemuliaan dan bukannya manusia yang menentuan siapa yang patut dimulia dan diagungkan.

Wednesday, 29 April 2009

Bahaya Demokrasi Tanpa Prinsip Wahyu

Demokrasi itu hampir menjadi agama kepada sesetengah pihak. Bahkan ada pihak yang meletakkan demokrasi lebih tinggi daripada prinsip-prinsip yang ada dalam agamanya. Sehingga jika kita menyebut bahawa tindakannya itu bercanggah dengan prinsip agama, dia akan menyatakan “saya kena patuh kepada kehendak demokrasi”.

Walaupun sebenarnya demokrasi dalam banyak keadaan mempunyai tafsiran yang berbagai, tetapi jika semuanya itu dirumuskan ia merujuk kepada kepatuhan pemerintah kepada kuasa atau suara majoriti rakyat. Di samping demokrasi juga menyebut tentang menghormati hak-hak minoriti.

‘Kerajaan rakyat, untuk rakyat dan kepada rakyat’, demikian antara slogan-slogan demokrasi yang dianggap indah. Tanpa sebarang syak demokrasi adalah sistem pemerintahan yang terbaik dibandingkan pemerintah autokrasi yang menjadikan kuasa berada di tangan seorang individu tanpa memperdulikan perasaan dan kehendak rakyat.

Di negara-negara yang dicengkami oleh pemerintahan ‘kuku besi’, demokrasi menjadi igauan rakyatnya. Mereka memuja demokrasi sebagaimana seseorang memuja agama. Bahkan mereka sanggup dipenjara atau mati kerananya. Walaupun dalam ajaran demokrasi tiada bab syurga atau neraka selepas kematian, tetapi kehendak insani terhadap kebebasan rakyat dan keadilan yang kelihatan selaras dengan slogan yang dikibarkan oleh bendera demokrasi membawa manusia sanggup berkorban kerananya.

Betapa ramai para pejuang demokrasi yang terkorban tanpa sempat melihat ‘suara majoriti’ menguasai negaranya. Betapa ramai yang mati dalam tahanan tanpa sempat melihat ‘kerajaan rakyat’ yang diidamkannya. Namun, tanpa berbekalkan nas-nas tentang ‘jihad dan syahid’, mereka sanggup dan rela. Sebabnya, keadilan itu selaras dengan naluri insani yang dibekalkan oleh Tuhan dalam fitrah insan. Demokrasi kelihatan menempatkan fitrah ini dalam sistemnya.

Namun dalam Dunia Islam sepatutnya tidak perlu mengagungkan demokrasi. Umat Islam telah dibekalkan oleh Islam dengan sistem syura yang adil dan berteraskan prinsip yang diredhai Allah. Malangnya para pemerintah Dunia Islam meminggirkan ‘Sistem Syura’ sehingga umat Islam jahil mengenainya, dalam masa yang sama slogan demokrasi yang dilaungkan Barat berkumandang di dunia. Melaluinya, Barat cuba menyebarkan pengaruh politik. Maka slogan demokrasi pun bergema di Dunia Islam sebagai satu impian rakyat.

Apatah lagi para pemerintah Dunia Islam ramai yang zalim dan kejam, maka bertambah suburlah kerinduan rakyat di Dunia Islam kepada kebebasan bersuara, hak dan keadilan, lalu dipinjam slogan yang Barat gunakan iaitu demokrasi. Lebih daripada itu, Barat berjaya membuktikan secara realitinya bagaimana kekebasan bersuara dan penghormatan kepada suara ramai dihayati dalam negara mereka.

Maka Barat seakan menjadi ‘Kiblat Politik’ dalam mengecapi hak dan kebebasan. Akhirnya Barat itu dianggap teladan dalam segala perkara yang negatif dan positif; sehingga kepada soalan yang berkaitan agama dan budaya. Ini semua berlaku dek kedurjanaan para pemerintah umat Islam itu sendiri yang merampas kebebasan rakyat sehingga mereka hilang panduan.

Ada yang menyebut bahawa ‘syura dan demokrasi’ namanya sahaja yang berbeza, tetapi maksudnya sama. Saya tidak mahu berbalah tentang istilah, kerana setiap orang berhak mempunyai kefahamannya yang tersendiri terhadap istilah yang dia pakai. Apa yang penting apakah prinsip yang dipegang, bukan jenama yang dipakai.

Prinsip-prinsip syura tulen berteraskan nas-nas wahyu, sementara prinsip-prinsip demokrasi berdasarkan pemikiran manusia. Walaupun mungkin banyak perkara secara umumnya demokrasi tidak bercanggah dengan Islam kerana asas pemerintahan dalam Islam itu sendiri adalah keadilan untuk rakyat berpandukan syariat Islami. Namun ada perbezaan antara demokrasi dan prinsip syura dalam Islam.

Dalam sistem syura Islam; suara ramai dihormati, demikian hak individu rakyat juga dipelihara. Dalam masa yang sama Islam mempunyai prinsip-prinsip yang perlu dipatuhi iaitu syariat Islam yang diturunkan Allah untuk kebaikan manusia. Jika suara ramai itu bercanggah dengan syariat Allah, sistem syura akan berpegang kepada syariat dan tidak akan menghalalkan yang haram atas nama ‘suara ramai’. Misalnya, jika kehendak rakyat ‘menghalalkan arak atau judi, atau zina, atau homoseksual maka kerajaan yang berteraskan demokrasi perlu menghormatinya.

Sementara dalam sistem syura, pemerintah berpegang kepada wahyu; maka kehendak ramai yang bercanggah dengan wahyu tidak dapat diterima. Bahkan menjadi tanggungjawab pemerintah mendidik rakyat dengan ajaran Allah agar mereka terbimbing dan dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk. Suara ramai memang dihormati tetapi ia bukan semestinya sentiasa betul. Jika suara ramai ingin menghalal yang salah, kita tidak bersetuju dengannya.

Firman Allah: (maksudnya) :

Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah Yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah Yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.(surah al-An’am:116-117)

Di peti undi pilihanraya, undi seorang ilmuwan besar yang sarat dengan analisa dan kajian tiada beza nilainya dengan undi seorang yang tiada pelajaran dan mengundi secara suka-suka tanpa fikir. Jika masyarakat dipenuhi oleh majoriti mereka yang mahu perkara-perkara negatif, demokrasi terpaksa menerima sedangkan sistem syura tidak. Bahkan tanggungjawab pemerintah ketika itu melaksanakan apa yang Allah sebut: (maksudnya):

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemunkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah al-Hajj: 41).

Pemerintahan berjiwa ‘syura islami’ akan menerapkan hubungan perasaan dengan Allah yang memberikan amanah kuasa pemerintahan kepadanya untuk memerintah dengan adil. Pegangan pemerintah adalah Islam dan keadilannya untuk rakyat. Bukan pemerintah berpegang kepada rakyat dan cuba memberi keputusan kepada agama. Politik demokrasi jika tidak dikawal akan menempatkan suara ramai menggantikan wahyu.

Siang malam yang diimpikan oleh pemerintah adalah undi rakyat bagi memungkin mereka terus berkuasa kerana kuasa dilihat sebagai amanah rakyat semata, bukan amanah Allah. Demikian pihak pembangkang yang partinya beriman penuh kepada prinsip demokrasi akan melakukan apa sahaja demi mendapat sokongan rakyat. Akhirnya lahirlah politik wang, jatuh-menjatuh demi mendapatkan undi, menggadaikan prinsip perjuangan kerana undi dan berbagai lagi. Sehingga yang berslogan Islam pun, menukar pegangan demi pengundi atau berdiam diri terhadap kemunkaran pengundinya.

Di Malaysia, kita akan melihat satu demi satu prinsip-prinsip Islam terpinggir dalam kegilaan mendapatkan sokongan rakyat atau memenangi peti. Pihak yang memakai jenama ‘Islam’ juga akan mendiamkan diri, jika dilihat membela prinsip-prinsip itu merugikan undi mereka. Itulah buruknya demokrasi yang berteraskan suara rakyat, tanpa berpaksikan wahyu.

Saya tidak bertujuan mencadangkan agar ditukarkan nama demokrasi kepada syura. Apa yang ingin saya sebut, sebagai seorang muslim apa pun sistem yang diguna namanya, atau terpaksa kita berinteraksi dengannya, kita hendaklah sentiasa berpaksikan wahyu. Perlu ada acuan prinsip kita yang tersendiri. Jika pun tidak mampu menukar, nama demokrasi itu mungkin boleh dipakai, tetapi prinsip seorang muslim hendaklah sistem syura yang berasaskan tanggungjawab pemerintah di hadapan Allah.

Jika tidak, demokrasi akan mengorbankan prinsip Islam dan menjadikan pemerintah dan pembangkang hilang idealisma tenggelam dalam kehendak ramai yang pada hari dipengaruhi berbagai-bagai kehendak globalisasi. Hingga pemerintah dan pembangkang itu akhirnya mengikut kehendak rakyat bukan mendidik dan membimbing rakyat. Maka rosaklah negara.


Dr Asri Zainul Abidin

Sunday, 5 April 2009

Apakah penyembuh kekalutan kita

Banyak email yang dihantar kepada saya mengadu betapa tenatnya perasaan melihat apa yang sedang bergolak dalam negara kita. Ada yang kata dia sesak nafas memikirkan hal umat Islam di negara kita. Ada yang menyatakan dia sudah malas nak fikir lagi. Ada yang kata dia rasa tertipu dengan sikap para pemimpin politik yang dia sokong. Ada yang bertanya penyelesaian dan berbagai lagi.

Jika kita ada penyakit, kita tidak patut mengubati apa yang kita nampak sahaja. Kita perlu ubati akar atau punca penyakit tersebut. Jika tidak, ia akan menyerang semula. Mengetahui punca asal penyakitnya, jika pun kita tidak dapat menyelesaikannya akan menjadikan kita sentiasa beringat di masa hadapan, atau memboleh kita mengingati generasi yang akan datang bahawa ‘Mencegah Lebih Baik Dari Mengubati’.

Kekusutan yang berlaku pada hari ini, apakah ia baru bermula semalam, atau sudah bertahun lamanya? Barah yang kelihatan boleh membunuh pada hari ini, apakah baru muncul ketika doktor berjaya mengesannya, atau sudah bertahun lamanya? Banyak penyakit itu gagal diubati disebabkan hanya pada sangat akhir ketika sudah benar-benar nazak, baru datang berjumpa perawat. Bukan tidak boleh, tetapi penyelesaian yang lengkap akan sukar untuk diperolehi.

Ya, banyak perkara dalam hidup kita, Islam hanyalah dirujuk ketika saat gawat. Ini seperti mereka yang berumahtangga, Islam mencadangkan pakej yang lengkap bermula dari ciri-ciri dalam memilih pasangan, mudahnya urusan perkahwinan, kehidupan dengan disiplin agama, tanggungjawab suami, isteri dan anak-anak, hukum-hakam nusyuz sehinggalah kepada bab talak apabila ternyata rumahtangga tidak lagi membawa kebaikan.

Malang sekali bagi pasangan muslim jika hanya merujuk kepada hukum Islam ketika ketika hendak bernikah dan hendak talak sahaja. Sepanjang perjalanan rumahtangga; bermula dari masa memilih pasangan, hukum-hakam syarak dalam rumah tangga, tanggungjawab mendidik anak isteri dengan ajaran Islam dan berbagai lagi tidak pernah dipedulikan. Hanya bertanya: “Apakah penyelesaian segera Islam bagi rumahtangga saya yang tidak aman?”. Bagaimanakah dia inginkan penyelesaian segera, sedangkan dia telah biarkan barah itu merebak sekian lamanya?

Masalah politik dalam negara kita juga sama. Ia tidak bermula pada krisis semalam, atau kelmarin. Namun ia bermula dari prinsip, tingkah laku dan perjalanan yang sudah berusia tua. Apakah sistem politik yang kita anut selama ini benar-benar diletakkan atas prinsip Islam? Kita juga patut bertanya; bilakah politik permusuhan dan kebencian secara meruncing itu disemai? Apakah puncanya, sehingga ‘ukhuwwah’ parti, melebihi ukhuwwah Islamiyyah yang diajar oleh Allah dan RasulNya. Permusuhan politik di peringkat kampung sehingga ke bandar sering memperlihatkan kerakusan kuasa dan ketaksuban parti yang kedua-duanya adalah menyanggahi prinsip Islam yang kudus.

Seterusnya, hilangnya kepercayaan kepada orang-orang politik, bermula bila? Saya secara peribadi melihat ramai pemimpin politik berjawatan dalam negara kita ini sombong lagak dan tingkahnya. Lebih buruk lagi, apabila ‘kerja-kerja salah’ mereka menjadi bahan perbualan umum. Sehingga hilangnya kepercayaan rakyat itu, bukan kepada mereka, ter‘mangsa’ sistem-sistem lain termasuk mahkamah dan polis.

Parti pemerintah bukan tidak boleh diubati, tetapi perlu ada kesungguhan dalam membuang segala unsur barah yang bersarang ditubuhnya sekalipun barah itu berupa orang besar. Jika tidak, generasi baru akan terus prajudis yang tiada hentinya.

Dalam banyak keadaan, manusia hilang prinsip dalam politik. Perkara yang diharamkan semalam, mungkin dihalalkan hari ini. Lompat parti umpamanya, haram dan halalnya pada orang politik parti berdasarkan untung rugi politik kepartian. Sistem Beraja juga demikian, apabila ia menguntungkan, ia disanjung, apabila sebaliknya ia dikeji. Begitu juga politik wang, halal dan haramnya diukur berdasarkan siapa yang beri?

Berkawan dengan ‘parti kafir’ juga serupa, kufur dan islamnya bukan diukur dengan dasar yang dipegang, tetapi siapa yang mereka berkawan? Jika kita berdasarkan prinsip dari awal, kita sentiasa akan istiqamah dalam memutus semua perkara berdasarkan prinsip. Kita akan bertanya; dari segi prinsip ‘apakah melompat parti itu memenuhi akhlak mulia yang diajar oleh Islam? Apakah wang yang mengikis ketelusan itu diizinkan oleh syarak? Apakah Sistem Beraja atau segala adat-istiadat Beraja itu diajar oleh Islam sedemian rupa? Banyak lagi perkara yang boleh dibangkitkan. Jika benar hendak menilai, kita mesti menilainya dengan bebas dan hanya bergantung kepada Allah.

Saya dukacita melihat kadang-kala pertelingkahan politik telah mengikis akhlak dan nilaian Islam dalam jiwa kita. Dalam dunia internet, maki-hamun, carut-marut dan sumpah-seranah menjadi mainan dan hiasan para penyokong aliran-aliran politik. Lebih mendukacitakan, apabila perbuatan keji seperti itu menggunakan nama Islam. Tercemarlah kemuliaan agama ini atas kegelojohan berpolitik.

Saya membaca komen-komen penyokong parti tertentu mengenai kenyataan Mufti Perak Dato Seri Harussani Zakaria yang melarang rakyat menentang keputusan Sultan Perak. Komen-komen itu penuh dengan carutan dan makian yang tidak tergamak untuk kita baca. Ya, bagi saya sendiri banyak pandangan dan pendapat Mufti Perak berkenaan yang saya kurang setuju. Namun, memaki hamun dan mencarut kepada seseorang yang ada sumbangannya yang tersendiri bukanlah akhlak yang diajar oleh Islam.

Malangnya, saya juga pernah melihat rakaman seorang pemimpin politik di Pahang yang membuat isyarat lucah ketika kempen pilihanraya. Demikianlah, perangai orang atasan menjadi contoh buruk kepada rakyat bawahan. Dalam hadis al-Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik r.a. katanya:

“Bukanlah Nabi s.a.w itu seorang pemaki orang, tidak juga seorang pengucap kekejian dan bukan seorang pelaknat orang lain”.

Melihat kepada masalah-masalah yang seperti ini, membawa kita insaf bahawa ada dua perkara yang memerlukan perubahan dalam negara kita. Pertama; melihat semula segala dasar dan sistem yang dipakai dalam negara ini; sejauh manakah itu semua memenuhi prinsip-prinsip yang ditegaskan oleh Allah dan rasulNya.

Kedua; kembali mentarbiah kaum muslimin; pemimpin dan rakyat agar berdisiplin dalam prinsip, amalan dan akhlak selaras dengan ajaran Allah dan rasulNya. Maksudnya hendaklah dilakukan penegakan Islam di peringkat dasar dan penghayatan. Dengan syarat, tafsiran Islam itu mestilah atas keikhlasan dan ilmu yang bebas dari kepentingan parti dan politik tertentu.

Saya menyeru kepada para pejuang perubahan, semoga apa yang berlaku menginsafkan kita, betapa kita perlukan Islam yang tulen yang merdeka dari kepentingan puak, adat, bangsa, parti dan seumpamanya. Hanya kembali kepada Allah dan rasulNya. Inilah perkara yang pernah disebut oleh al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani r.h:

“Bilamana menjadi sesuatu yang putus bahawa “Sesungguhnya al-Din di sisi Allah ialah Islam”, maka sesungguhnya tidak mungkin dapat difahami apa yang dikehendaki Allah melainkan dengan perantaraan RasululLah. Sesungguhnya tiada jalan kita sampai kepada baginda melainkan melalui pengetahuan mengenai sunnah baginda. Pula tiada jalan kepada sunnah baginda melainkan dengan ilmu hadis. Justeru itu menjadi kewajipan ke atas kaum muslimin, samada pemerintah atau rakyat, pendakwah atau yang didakwah, beriman bersama kita bahawa tiada jalan terlaksananya apa yang kita seru kepadanya iaitu perlaksanaan keadilan dan keamanan, menegakkan hukum Allah di atas muka bumi kecuali dengan berdakwah kepada sunnah dan mengamalkannya, juga mentarbiah kaum muslimin dengannya. Bukan dengan hukum-hakam dunia, undang-undang ciptaan manusia, pandangan-pandangan individu dan pegangan-pegangan kepartian. Itu semua menjadikan umat semakin berpecah dan jauh dari matlamat yang dituju” (Al-Albani, Sahih al-Adab al-Mufrad m.s. 8-9 Saudi: Dar al-Sadiq)


oleh: Dr Mohd Asri 

Bersemuka: Mufti tidak semesti disandang orang pencen



Dunia makin pantas berubah dan masa depan negara ditentukan oleh bentuk generasi masa kini 

SELEPAS seminggu memegang jawatan Mufti Perlis, bagaimana Dr melihat tugas dan fungsi sebagai mufti di negeri itu? 

Tugas mufti adalah sebagai pusat rujukan tertinggi umat Islam bagi mendapatkan nasihat dalam isu agama. Mufti memegang amanah untuk memastikan segala rujukan hukum syarak adalah berteraskan dua rujukan utama Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Inilah identiti Ahli Sunnah wal Jamaah yang menjadi identiti negeri Perlis secara jelas.

Tegasnya, tugas memastikan nasihat yang benar dan tepat berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah bukanlah suatu tugas mudah. Ia memerlukan usaha penyelidikan dan penggalian ilmu yang mendalam. Saya fikir tugas asasi yang berat ini sudah memadai untuk menjelaskan betapa besarnya amanah yang mesti dijalankan oleh seorang mufti. Mufti mesti turun padang berjumpa umat untuk menjelaskan setiap hukum syarak dan berusaha menghilangkan kekeliruan yang wujud di kalangan mereka. Jawatan mulia ini bukan hanya untuk ditonton dan duduk selesa dalam pejabat, jawatan mulia ini mesti diletakkan pada tempatnya iaitu ia benar-benar menjalankan tugas sebagai penjelas hukum Islam kepada umat.


Apakah agaknya penambahbaikan yang dirasakan perlu dilaksanakan oleh Pejabat Mufti Perlis? 


Penambahbaikan yang terbaik ialah dengan memantapkan sistem penyampaian yang selalu dilaungkan oleh kepemimpinan negara. Biarlah semua peringkat masyarakat mempunyai akses mudah untuk berhubung dengan institusi yang bertanggungjawab memberi penjelasan serta kefahaman mengenai hukum hakam supaya segala silap faham agama dapat dirungkaikan dengan mudah dan terang. Masyarakat mesti jelas tempat rujukan dan mereka mesti dimudahkan untuk merujuk. Pada saya ia tidak akan merendahkan martabat mufti. Mesra media juga adalah salah satu caranya kerana bagaimana masyarakat hendak dapat input yang jelas jika mufti tidak memberi maklumat tepat kepada media. Media penting untuk mendidik masyarakat serta memberi penjelasan mengenai Islam yang sebenar. Pendapat mufti amat penting diketengahkan supaya tidak berlaku kecelaruan pandangan di kalangan ahli masyarakat. Bahkan fatwa yang dikeluarkan adalah hasil usaha memahami hukum syarak berdasarkan al-Quran dan al-sunnah, iaitu sumber yang wajib diterima masyarakat Islam. 

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abdidin begitu popular ketika memegang jawatan ini kerana kelantangannya mengemukakan isu. Apa pendekatan Dr?

Kelantangan mestilah berteraskan kebenaran yang diyakini bersandarkan al-Quran dan al-Sunnah. Setiap Muslim wajib mempertahankan dua sumber asasi Islam ini. Jika orang Islam sendiri membelakangkan dua sumber utama ini, maka apakah identiti Islam masih wujud pada umat ini. Dua sumber ini kekal abadi kemaksumannya, manakala pandangan manusia hanyalah sekadar suatu pandangan. Saya yakin umat Islam masa kini lebih meyakini kaedah penjelasan hukum bersandarkan dalil yang jelas dan mudah daripada al-Quran dan al-Sunnah. Saya lebih sukakan pendekatan mendidik dan memahamkan masyarakat. Kebiasaannya manusia menentang perkara yang mereka tidak ketahui. Umum mengetahui bahawa ‘manusia menjadi musuh terhadap perkara yang dia tidak ketahui’. Saya juga tidak bersetuju jika mufti tidak boleh bercakap atau mesti dikurangkan bercakap kerana mufti perlu menerima jemputan berceramah bagi menjelaskan hukum syarak. Dengan cara itu usaha mendidik serta memberi kefahaman kepada masyarakat dapat dilakukan. Apa yang datang daripada mufti adalah pandangan dan jika tidak bersetuju, perkara itu boleh dibincangkan tetapi hendaklah dengan cara beradab. 


Adakah jawatan ini akan membuka peluang lebih luas untuk Dr menceburi bidang politik pula pada masa depan? 

Politik adalah sebahagian daripada agama Islam. Islam tidak pernah terpisah daripadanya bahkan Islam perlu ditadbir oleh politik berteraskan roh Islam bagi memastikan pentadbiran manusia itu berasaskan kepada keadilan dan kesaksamaan yang ditentukan wahyu Ilahi. Setiap orang perlu memberi sumbangan ke arah memastikan umat Islam ditadbir menurut kehendak agama mereka. Apakah saya akan aktif dalam politik selepas ini? Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan tetapi menjadi cita-cita saya untuk mendaulatkan Islam, bukan saja di negara ini malah kepada umat Islam yang lain. 

Suasana sekarang melihat agama turut dipolitikkan, apakah pandangan Dr? Apa nasihat Dr kepada mereka yang mempolitikkan agama?

Ini sekadar persepsi yang subjektif. Pelbagai pihak ada dimensi pandangan tersendiri. Apa yang penting ialah kebenaran agama Islam hanya akan kelihatan jika setiap perkara yang disandarkan kepada Islam, berlatarkan rujukan asasi iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Pandangan yang lari daripada kedua sumber ini, bukanlah mewakili Islam. Beri ruang seluas-luasnya kepada ahli agama yang benar-benar layak dan berautoriti melakukan kerja mereka. Ahli agama umpama pakar profesional dalam bidang mereka. Mengapa jika doktor pakar bedah jantung diberikan autoriti dan kepercayaan sepenuhnya dalam bidang mereka, tetapi tidak kepada ahli agama. Ini suatu pilih kasih yang jelas, dan teramat malang ia berlaku kepada urusan agama. Sementara bagi ahli agama, sama ada yang rasmi atau tidak, hendaklah sentiasa mempunyai rasa takut kepada Allah dalam melaksanakan amanah urusan agama ini. Jika mereka dapat menjauhi nafsu keduniaan, saya yakin tidak akan berlaku penyalahgunaan ruang agama oleh pihak berkepentingan jahat. 

Ada juga dakwaan mengatakan bahawa Dr menyokong fahaman Wahabi. Betul ke? 

Umat Islam mesti menyokong setiap kebenaran bersandarkan hujah al-Quran dan al-Sunnah. Kebenaran hanya berlegar sekitar dua sumber ini. Persepsi dan tohmahan liar pelbagai pihak adalah sesuatu yang lumrah. ‘Setiap yang mempunyai nikmat itu, pasti ada yang dengki kepadanya’. Ini suatu kaedah umum yang wajar direnungi oleh setiap orang yang Allah uji dengan kedudukan. Tohmahan adalah harga yang perlu dibayar oleh setiap yang diuji dengan amanah oleh Allah. Isu Wahabi dan pelbagai label adalah isu lapuk sejak sebelum merdeka di Malaysia. Sesiapa yang memahami sejarah negara pasti faham kenapa sesetengah golongan suka melemparkan label ini kepada golongan yang mahukan kemajuan dalam beragama bagi umat Islam di Malaysia. 

Apa pandangan Dr mengenai pemilihan mufti di kalangan orang muda sedangkan dulu mufti adalah mereka yang sudah berpengalaman. Adakah tindakan kerajaan memberi peluang kepada golongan muda itu langkah terbaik? 

Pada saya tidak timbul soal umur. Saya sendiri pun sudah berasa diri ini juga sudah berumur. Jika disemak pelantikan yang lain, ramai juga dilantik pada usia muda awalnya dan terus kekal di kerusi itu hingga berpuluh tahun lamanya. Jawatan mufti bukan hanya untuk mereka yang pencen. Ia adalah untuk mereka yang mendapat kepercayaan, seterusnya berkemampuan untuk menyelidik isu keagamaan. Dunia kini semakin pantas berubah. Masa depan negara kita ditentukan oleh bentuk generasi masa kini yang masih muda. Saya percaya orang muda lebih memahami cara hidup dan cara fikir generasi muda masa kini.


al-ahkam.net

Penderitaan rakyat Palestin



Yahudi merupakan kaum yang banyak kali disebut di dalam al-Quran tentang keburukan dan kejahatan yang telah dilakukan oleh kaum ini. Kisah-kisah yang dipaparkan tentang mereka ialah kisah membunuh para nabi dan menyembunyikan kebenaran. Kita tidak seharusnya mempercayai dengan janji-janji manis oleh Yahudi zionis kerana Allah sendiri telah menyifatkan di dalam Surah al-Baqarah ayat 83 bahawa kebanyakan kaum Yahudi merupakan orang yang suka memungkiri janji kerana pada suatu ketika mereka pernah bersumpah di atas nama Allah bahawa mereka tidak akan membunuh, mengusir sebahagian yang lain, taat kepada ibu bapa dan lain-lain janji tetapi mereka ingkar dan telah melanggar janji dan sumpah serta tidak memenuhi janji-janji yang telah diikrarkan.

Malah kaum Yahudi ini sangat berani menukar dan menyembunyikan kebenaran iaitu tidak menyampaikan isi-isi kitab Taurat kepada golongan awam dengan jujur. Golongan elit yang terdiri daripada pemimpin dan pendeta mereka yang bertanggungjawab mengubah ayat-ayat dan hukum-hukum yang telah jelas di dalam kitab yang telah diwahyukan kepada nabi-nabi. Mereka sangat berhati-hati memilih hukum-hakam yang terdapat di dalam kitab dengan hanya memilih hukum yang sesuai dengan nafsu mereka manakala yang selebihnya disembunyikan. Buktinya, al-Quran menceritakan di dalam surah al-Baqarah ayat 85 bahawa Yahudi adalah orang yang mengambil hukum dari Taurat dengan apa yang sesuai dan yang selari pada pendirian mereka sahaja sedangkan selebihnya mereka menafikan dan tidak menggunapakai hukum-hukum tersebut.

Tidak keterlaluan sekiranya menyifatkan Yahudi zionis ini seperti melepaskan anjing yang tersepit. Mereka menolak kerasulan Nabi Muhammad. Mereka lupa bahawa pada suatu ketika dahulu mereka merupakan orang yang lekeh dan terhina di bumi Mesir ketika di bawah pemerintahan Firaun. Mereka adalah hamba abdi yang dikerah untuk membina bangunan-bangunan dan disiksa. Tetapi Bani Israil telah diselamatkan dan diberi keistimewaan oleh Allah SWT dengan mengutus Nabi Musa a.s dan dibantu oleh Nabi Harun a.s. Malah Allah telah memberi pengiktirafan dengan meninggikan kaum Bani Israil dari bangsa-bangsa lain ketika zaman Nabi Musa sebagaimana yang disebut di dalam Surah al-Baqarah ayat 47 yang bermaksud, “Hai Bani Israil, ingatlah akan nikmat-Ku yang telah Aku anugerahkan kepadamu dan (ingatlah pula) bahwasanya Aku telah melebihkan kamu atas segala umat”.

Jika dilihat pada senario hari ini, Yahudi hampir berhasil mempengaruhi dan menakluki seluruh dunia dengan pelbagai jenis kepakaran yang mereka kuasai selain daripada peperangan. Mereka sangat mendahului di dalam bidang akademik malah mereka sangat menguasai bidang sains. Justeru mereka melancarkan kedua-dua senjata tersebut dan berhasil menakluk dunia dan meletakkan setiap pemimpin dunia di hujung jari dengan mengikut segala telunjuk mereka. Mereka mampu mengawal kuasa besar seperti Amerika manakala perjalanan ekonomi berada di dalam genggamannya.

Kejayaan yang mereka gengam pada hari ini merupakan rentetan dari agenda utama mereka iaitu penaklukan sepenuhnya ke atas Baitulmaqdis. Maka dengan segala kuasa yang ada mereka sedaya upaya menekan umat Islam di Palestin khasnya agar melepaskan tempat suci tersebut. Selepas berjirankan negara haram Israel pada tahun 1948, hidup rakyat Palestin tidak lagi damai malah ekonomi negara juga semakin merudum.

Selain daripada kemerosotan ekonomi, rakyat Palestin juga terpaksa menghadapi masalah pengangguran. Ini terjadi akibat kekejaman tentera Yahudi membedil bangunan-bangunan yang dirasakan memberi ancaman kepada mereka atau disyaki menjadi tempat persembunyian pejuang yang menentang Israel tanpa mengira sama ada masjid, rumah atau sekolah.

Ramai di antara mereka yang kehilangan tempat tinggal dan terpaksa tinggal dalam bangunan-bangunan yang telah rosak sebagai tempat perlindungan dan berteduh dari panas dan hujan. Kemusnahan berada di mana-mana. Anak-anak kecil dan orang tua terbaring di celah-celah runtuhan beralaskan lantai yang keras dan sejuk.

Bukan sekadar kemusnahan pada bangunan kesan siri pengeboman yang berlarutan sejak 27 Disember 2008, ramai rakyat Palestin hidup menanggung penderitaan dan kecacatan sepanjang hayat kerana kehilangan anggota badan. Selain itu, serangan bom fosforus ke atas rakyat Palestin akan meninggalkan kecacatan seumur hidup. Kesannya sama seperti terkena asid yang akan menghakis daging dan menyebabkan kelecuran pada kulit mangsa.

Mereka juga menyekat sebarang bantuan kemanusiaan dari negara-negara luar. Ubat-ubatan dan makanan yang dikirim disekat di Rafah, Mesir. Penyekatan bantuan makanan menyebabkan kekurangan makanan dan kesan kebuluran di kalangan rakyat Palestin. Penggunaan ubat-ubatan pula terpaksa dihadkan kerana keperluan yang sangat tinggi menyebabkan hospital terpaksa menghadkan penggunaan bekalan ubatan yang sedia ada.

Israel bukan hanya memusnahkan material negara Palestin sahaja bahkan turut memusnahkan jiwa dan psikologi dalaman rakyat Palestin. Kanak-kanak kehilangan ibu bapa dalam sekelip mata. Ibu bapa melihat anak-anak mereka terkorban di depan mata dan sebahagian rakyat yang terputus anggota badan.

Jenayah kekejaman Israel tersebut telah menarik perhatian dunia. Pihak PBB  dan OIC yang dianggap kuasa besar yang berautoriti untuk menegur dan menghentikan kekejaman, tidak melakukan sebarang tindakan. Kita sebagai umat seagama perlu turut mengambil bahagian menentang kejahatan bangsa Yahudi Zionis. Semoga Allah memberi kemenangan kepada umat Islam dan mengirim ketabahan dan kekuatan kepada saudara kita di Palestin khasnya dan juga kepada seluruh umat Islam agar bersama-sama memperjuangkan kedaulatan Islam dan menegakkan serta mengembalikan semula kegemilangan Islam di atas muka bumi Allah ini.


MOHD ZAKARIA MAHADI

Nabi Muhammad utusan Allah



Nabi Muhammad saw adalah makhluk yang diutuskan oleh Allah sebagai penyebar dan penyempurna akhlak-akhlak   yang baik kepada manusia keseluruhannya. Baginda berakhlak dengan akhlak al-Quran malah dalam seluruh kehidupan baginda diselebungi dengan akhlak-akhlak yang baik yang disegani oleh kawan mahupun lawan. Akhlak baginda tidak pernah mengenal pertalian darah bahkan dengan musuh atau orang yang menyakitinya juga baginda tetap berakhlak dengan akhlak yang baik.

Allah menegaskan di dalam surah al-Ahzab ayat 21 bahawa nabi Muhammad adalah satu-satunya individu yang paling sesuai untuk dijadikan contoh dan tauladan bagi umat manusia. Malah ummul mukminin Aisyah pernah menyatakan bahawa nabi Muhammad saw berakhlak dengan akhlak al-Quran.

Jika dilihat pada senario anak-anak muda sekarang yang berbangsa Melayu khususnya yang kurang kenal kepada individu yang tinggi martabatnya ini dimana namanya disebut2 di dalam al-Quran berulang kali bahkan ada yang tidak mengenalinya langsung! Malah ada yang hanya mengenal nama sahaja tetapi hakikatnya mereka hanya hidup dengan bertopengkan nama Islam yang dipakai diluaran semata-mata.

Mereka sangat jahil dengan peradaban Islam yang lebih baik dari mana-mana peradaban yang wujud di muka bumi ini. Mereka lebih terkesan dengan budaya-budaya kuning yang dibawa oleh barat. Pada tanggapan mereka, budaya yang ditiup dari barat adalah budaya orang-orang yang maju. Mereka tidak menyedari bahawa Islam yang dibawa oleh junjungan besar nabi Muhammad adalah yang terbaik malah sesuai diaplikasik di dalam segenap zaman dan disetiap sudut tempat.

Ibu bapa merupakan pengasuh yang paling utama untuk memperkenalkan nabi Muhammad dan Islam yang dibawa oleh baginda kepada anak-anak mereka. Malah di rumah sepatutnya menjadi tempat yang paling sesuai untuk menanam sifat dan akhlak yang dibawa oleh nabi Muhammad. Kerana anak-anak menghabiskan kebanyakan waktunya di rumah dan ibu bapa perlu pandai mengambil peluang untuk menerapkan kepada mereka nilai-nilai ajaran Islam.

Ulama’ dan umara’ juga wajib memainkan peranan di dalam memperkenal dan menanam keperibadian muslim yang baik, yang menghayati kemurnian ajaran Islam kepada masyarakat awam. Ulama’ perlu meningkatkan lagi usaha mereka untuk berdakwah dan memberi kefahaman yang sebenar kepada masyarakat awam dan anak-anak muda khasnya. Usaha untuk menyebarkan nilai-nilai ajaran Islam perlu dilakukan secara aktif oleh golongan ulama’ kerana ulama’ dilihat lebih memahami dan mendalami isi-isi ajaran Islam.

Ulama’ mempunyai tugas yang sangat berat dah hebat. Mereka ini dipilih oleh Allah sebagai pewaris nabi. Mereka ini juga telah dipilih untuk menjaga umat manusia keseluruhannya. Ulama’-ulama’ menjadi tempat sandaran dan rujukan ketika mana masyarakat mengalami masalah yang berkaitan sama ada tentang agama, negara, kewangan malah kehidupan seharian mereka. Justeru ulama’ dilihat sebagai satu taraf yang tinggi dimana mempunyai beban dan tanggungjawab yang sangat besar juga berautoriti untuk bersuara di dalam mana-mana lapangan masalah kerana Islam adalah agama yang syumul yang mencakupi segenap ruang kehidupan manusia sama ada dari segi masalah negara atau agama.

Umara’ pula adalah peringkat yang bertanggungjawab untuk menjaga kemaslahatan rakyatnya sahaja. Bidang tugas ahli politik atau pemerintah hanya di dalam had sempadan sesebuah negara tertentu. Mereka berusaha untuk memperbaiki kehidupan rakyat di dalam pimpinannya agar menjadi lebih baik dan bebas dari kejahilan tetapi masih di dalam landasan Islam yang telah digariskan dan di dalam pengawasan ulama’. Malah mereka ini bertangungjawab di dalam memainkan peranan di dalam menggerakkan aktivit-aktiviti  yang berbentuk keagamaan untuk memberi kefahaman kepada rakyat.

Justeru, semua pihak harus bekerjasama untuk menggarap nilai murni Islam di dalam jiwa setiap manusia bermula dari rumah sehinggalah kepada peringkat yang tertinggi di mana ulama’ dan umara’ bekerjasama dan bergabung untuk menyelesaikan kes kejahilan terhadap nabi Muahammad dan ajaran Islam.


MOHD ZAKARIA MAHADI