ayat mulia~

"and certainly, We shall test you with something of fear, hunger, loss of wealth, lives and fruits, but give glad tidings to as-Sabirin (the patient ones)-(surah al-Baqarah: 155)

Wednesday, 29 April 2009

Sokong Dr. Asri bebaskan institusi fatwa

KALI pertama saya bertemu bekas mufti Perlis, Dr. Asri Zainal Abidin ialah pada Disember 2008. Beliau yang sedang melanjutkan pengajian di United Kingdom datang ke London untuk menyertai demonstrasi mengenai Gaza. Kebetulan ketika bertemu, saya pun mengikut beliau dalam demonstrasi tersebut walaupun untuk sekejap sahaja.

Selepas berdemonstrasi, saya meneruskan perbualan dengan Dr. Asri sehingga hampir tengah malam.

Beliau meminta penjelasan kenapa kami di Malaysia Think Tank beriya-iya mempopularkan faham libertarianisme sehingga sanggup membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk menaja peserta Akademi Merdeka yang kami anjurkan secara berkala.

Pada 1-3 Mei depan, kami sekali lagi akan mengadakan Akademi Merdeka di Pulau Pinang.

Rupa-rupanya walaupun ada perbezaan di sana-sini, banyak juga persamaan pandangan antara kami. Saya menghormati Dr. Asri sebagai seorang yang boleh menerima perbezaan pandangan tanpa terlalu dipengaruhi emosi.

Isu paling hangat yang kami bicarakan pada malam itu ialah mengenai kewibawaan institusi fatwa di Malaysia. Kesejukan di tengah-tengah musim dingin pun menjadi panas dalam perbincangan itu!

Minggu lepas saya bertemu sekali lagi dengan ilmuwan agama ini di Dewan Malaysia London. Beliau menyebut bahawa majalah Al-Islam keluaran April 2009 telah menyiarkan pandangan beliau mengenai betapa kita perlu memperkukuhkan institusi fatwa negara.

Dalam majalah tersebut Dr. Asri mencadangkan agar diwujudkan badan-badan fatwa bebas selain daripada Majlis Fatwa yang rasmi.

Memetik kata-kata Dr. Asri, lebih baik jika kita mempunyai "badan fatwa yang dianggotai oleh tokoh-tokoh ilmuwan daripada pelbagai aliran. Bebas daripada kongkongan kepentingan, mampu mencampuri pelbagai urusan umat. Ia boleh dibiayai oleh institusi wakaf agar tiada siapa yang mengongkongnya."

Nampaknya daripada satu topik sembang-sembang selepas demonstrasi, idea itu kini telah dilontarkan ke khalayak ramai.

Saya menyokong cadangan Dr. Asri itu. Seperti yang beliau sendiri sebutkan, Majlis Fatwa Kebangsaan gagal menjadi badan yang memimpin rakyat dan kebebasannya tersekat.

Kewujudan badan fatwa bebas akan mewujudkan persaingan dalam institusi fatwa di Malaysia, selaras dengan firman Allah yang mahukan kita berlumba-lumba mengerjakan kebajikan.

Hakikatnya, badan fatwa adalah kilang untuk mencerna idea-idea bernas dalam rangka menghasilkan fatwa sebagai produk. Pekerja-pekerja kilang tersebut ialah para ulama yang terpilih.

Sekiranya hanya satu sahaja badan yang memonopoli proses pengeluaran fatwa, maka akhirnya mereka akan menjadi acuh tak acuh dalam menjalankan tugas. Apatah lagi jika para pekerjanya merasakan bahawa pekerjaan mereka sentiasa selamat, atau masyarakat tidak mempunyai pilihan selain daripada menerima bulat-bulat apa yang mereka keluarkan.

Akibatnya akan keluarlah pandangan-pandangan yang kualitinya boleh dipersoalkan, seperti mana beberapa fatwa yang dikeluarkan baru-baru ini. Mujurlah Perdana Menteri dan Raja-Raja menyelamatkan keadaan.

Apabila ada persaingan, badan-badan fatwa ini akan lebih berhati-hati mengeluarkan pandangan agar 'produk' mereka berkualiti tinggi dan wibawa 'kilang' juga tidak tercalar.

Saya ada bertanya Dr. Asri apa yang beliau maksudkan sebagai 'badan bebas.' Menurut beliau, 'badan bebas' bermaksud tidak terikat dengan mana-mana kepentingan atau kuasa yang lebih tinggi.

Apa yang saya faham, ini bermaksud badan fatwa itu boleh mengeluarkan pandangan dalam apa-apa isu yang mereka mahu, tanpa perlu merujuk kepada kuasa atasan. Sandaran mereka adalah hujah berteraskan al-Quran dan hadis semata-mata.

Saya setuju bahawa kebebasan ini penting kerana kadang kala mereka yang bertanggungjawab mengawasi majlis-majlis fatwa rasmi ini pun sebenarnya jauh daripada Islam yang tulen. Peranan mereka dalam pentadbiran agama semata-mata kerana jawatan yang dipegang, bukan kerana keilmuan atau pengamalan.

Pandangan seumpama yang dilontarkan oleh Dr. Asri pasti akan mengundang kontroversi dalam negara kita. Bagaimana kedudukan Majlis atau Jabatan Agama Islam? Bagaimana kedudukan Majlis Fatwa Kebangsaan?

Apa kedudukan Raja-Raja Melayu yang turun temurun memegang jawatan sebagai ketua agama? Bagaimana jika fatwa yang dikeluarkan mengundang polemik baru? Di mana kedudukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)?

Pasti kita memerlukan masa lebih panjang untuk membicarakan semua ini. Jangan tergesa-gesa untuk mengubah segala-galanya. Apa yang penting sekarang ialah perbahasan awam yang matang dan sihat.

Cadangan Dr. Asri ini juga menjemput kita untuk mengimbau status institusi wakaf di negara kita. Badan fatwa bebas yang dicadangkan oleh Dr. Asri hanya akan berjaya jika wujud pertubuhan-pertubuhan wakaf yang kuat.

Hampir semua wakaf di Malaysia ditadbir oleh kerajaan. Seperti mana monopoli telah membawa kesan negatif kepada institusi fatwa kita, monopoli juga telah melemahkan institusi wakaf kerana tidak wujud persaingan untuk menjadi yang terbaik.

Ini bukan salah pihak berkuasa. Apa-apa institusi sekalipun akan menjadi lemah sekiranya tidak wujud persaingan yang sihat.

Maka tidak pelik jika Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Datuk Sohaimi Mohd Salleh berkata bahawa beliau teruja dengan kekuatan kewangan endowment di Universiti Harvard.

Model yang mereka gunakan amat mirip dengan model wakaf dalam Islam. Dana mereka mencecah RM$65 bilion, lebih banyak daripada jumlah pakej rangsangan ekonomi seluruh Malaysia!

Situasi tersebut hanya wujud di negara yang membebaskan wakaf dan endowment daripada belenggu birokrasi dan pengaruh politik.

Institusi wakaf juga perlu digalakkan berfungsi dengan bebas agar mereka boleh membiayai kerja-kerja organisasi yang sesuai, seperti badan fatwa bebas yang dicadangkan oleh Dr. Asri.

Negara kita kini semakin dewasa. Saya harap kita boleh membincangkan pandangan bekas mufti tersebut sebagai orang dewasa, tanpa dipengaruhi oleh emosi atau sentimen yang melulu. Hujah dan dalil mesti dijadikan sandaran utama.

WAN SAIFUL WAN JAN ialah Ketua Pengarah Malaysia Think Tank dan kini menetap di London

Bahaya Demokrasi Tanpa Prinsip Wahyu

Demokrasi itu hampir menjadi agama kepada sesetengah pihak. Bahkan ada pihak yang meletakkan demokrasi lebih tinggi daripada prinsip-prinsip yang ada dalam agamanya. Sehingga jika kita menyebut bahawa tindakannya itu bercanggah dengan prinsip agama, dia akan menyatakan “saya kena patuh kepada kehendak demokrasi”.

Walaupun sebenarnya demokrasi dalam banyak keadaan mempunyai tafsiran yang berbagai, tetapi jika semuanya itu dirumuskan ia merujuk kepada kepatuhan pemerintah kepada kuasa atau suara majoriti rakyat. Di samping demokrasi juga menyebut tentang menghormati hak-hak minoriti.

‘Kerajaan rakyat, untuk rakyat dan kepada rakyat’, demikian antara slogan-slogan demokrasi yang dianggap indah. Tanpa sebarang syak demokrasi adalah sistem pemerintahan yang terbaik dibandingkan pemerintah autokrasi yang menjadikan kuasa berada di tangan seorang individu tanpa memperdulikan perasaan dan kehendak rakyat.

Di negara-negara yang dicengkami oleh pemerintahan ‘kuku besi’, demokrasi menjadi igauan rakyatnya. Mereka memuja demokrasi sebagaimana seseorang memuja agama. Bahkan mereka sanggup dipenjara atau mati kerananya. Walaupun dalam ajaran demokrasi tiada bab syurga atau neraka selepas kematian, tetapi kehendak insani terhadap kebebasan rakyat dan keadilan yang kelihatan selaras dengan slogan yang dikibarkan oleh bendera demokrasi membawa manusia sanggup berkorban kerananya.

Betapa ramai para pejuang demokrasi yang terkorban tanpa sempat melihat ‘suara majoriti’ menguasai negaranya. Betapa ramai yang mati dalam tahanan tanpa sempat melihat ‘kerajaan rakyat’ yang diidamkannya. Namun, tanpa berbekalkan nas-nas tentang ‘jihad dan syahid’, mereka sanggup dan rela. Sebabnya, keadilan itu selaras dengan naluri insani yang dibekalkan oleh Tuhan dalam fitrah insan. Demokrasi kelihatan menempatkan fitrah ini dalam sistemnya.

Namun dalam Dunia Islam sepatutnya tidak perlu mengagungkan demokrasi. Umat Islam telah dibekalkan oleh Islam dengan sistem syura yang adil dan berteraskan prinsip yang diredhai Allah. Malangnya para pemerintah Dunia Islam meminggirkan ‘Sistem Syura’ sehingga umat Islam jahil mengenainya, dalam masa yang sama slogan demokrasi yang dilaungkan Barat berkumandang di dunia. Melaluinya, Barat cuba menyebarkan pengaruh politik. Maka slogan demokrasi pun bergema di Dunia Islam sebagai satu impian rakyat.

Apatah lagi para pemerintah Dunia Islam ramai yang zalim dan kejam, maka bertambah suburlah kerinduan rakyat di Dunia Islam kepada kebebasan bersuara, hak dan keadilan, lalu dipinjam slogan yang Barat gunakan iaitu demokrasi. Lebih daripada itu, Barat berjaya membuktikan secara realitinya bagaimana kekebasan bersuara dan penghormatan kepada suara ramai dihayati dalam negara mereka.

Maka Barat seakan menjadi ‘Kiblat Politik’ dalam mengecapi hak dan kebebasan. Akhirnya Barat itu dianggap teladan dalam segala perkara yang negatif dan positif; sehingga kepada soalan yang berkaitan agama dan budaya. Ini semua berlaku dek kedurjanaan para pemerintah umat Islam itu sendiri yang merampas kebebasan rakyat sehingga mereka hilang panduan.

Ada yang menyebut bahawa ‘syura dan demokrasi’ namanya sahaja yang berbeza, tetapi maksudnya sama. Saya tidak mahu berbalah tentang istilah, kerana setiap orang berhak mempunyai kefahamannya yang tersendiri terhadap istilah yang dia pakai. Apa yang penting apakah prinsip yang dipegang, bukan jenama yang dipakai.

Prinsip-prinsip syura tulen berteraskan nas-nas wahyu, sementara prinsip-prinsip demokrasi berdasarkan pemikiran manusia. Walaupun mungkin banyak perkara secara umumnya demokrasi tidak bercanggah dengan Islam kerana asas pemerintahan dalam Islam itu sendiri adalah keadilan untuk rakyat berpandukan syariat Islami. Namun ada perbezaan antara demokrasi dan prinsip syura dalam Islam.

Dalam sistem syura Islam; suara ramai dihormati, demikian hak individu rakyat juga dipelihara. Dalam masa yang sama Islam mempunyai prinsip-prinsip yang perlu dipatuhi iaitu syariat Islam yang diturunkan Allah untuk kebaikan manusia. Jika suara ramai itu bercanggah dengan syariat Allah, sistem syura akan berpegang kepada syariat dan tidak akan menghalalkan yang haram atas nama ‘suara ramai’. Misalnya, jika kehendak rakyat ‘menghalalkan arak atau judi, atau zina, atau homoseksual maka kerajaan yang berteraskan demokrasi perlu menghormatinya.

Sementara dalam sistem syura, pemerintah berpegang kepada wahyu; maka kehendak ramai yang bercanggah dengan wahyu tidak dapat diterima. Bahkan menjadi tanggungjawab pemerintah mendidik rakyat dengan ajaran Allah agar mereka terbimbing dan dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk. Suara ramai memang dihormati tetapi ia bukan semestinya sentiasa betul. Jika suara ramai ingin menghalal yang salah, kita tidak bersetuju dengannya.

Firman Allah: (maksudnya) :

Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah Yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah Yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.(surah al-An’am:116-117)

Di peti undi pilihanraya, undi seorang ilmuwan besar yang sarat dengan analisa dan kajian tiada beza nilainya dengan undi seorang yang tiada pelajaran dan mengundi secara suka-suka tanpa fikir. Jika masyarakat dipenuhi oleh majoriti mereka yang mahu perkara-perkara negatif, demokrasi terpaksa menerima sedangkan sistem syura tidak. Bahkan tanggungjawab pemerintah ketika itu melaksanakan apa yang Allah sebut: (maksudnya):

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemunkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah al-Hajj: 41).

Pemerintahan berjiwa ‘syura islami’ akan menerapkan hubungan perasaan dengan Allah yang memberikan amanah kuasa pemerintahan kepadanya untuk memerintah dengan adil. Pegangan pemerintah adalah Islam dan keadilannya untuk rakyat. Bukan pemerintah berpegang kepada rakyat dan cuba memberi keputusan kepada agama. Politik demokrasi jika tidak dikawal akan menempatkan suara ramai menggantikan wahyu.

Siang malam yang diimpikan oleh pemerintah adalah undi rakyat bagi memungkin mereka terus berkuasa kerana kuasa dilihat sebagai amanah rakyat semata, bukan amanah Allah. Demikian pihak pembangkang yang partinya beriman penuh kepada prinsip demokrasi akan melakukan apa sahaja demi mendapat sokongan rakyat. Akhirnya lahirlah politik wang, jatuh-menjatuh demi mendapatkan undi, menggadaikan prinsip perjuangan kerana undi dan berbagai lagi. Sehingga yang berslogan Islam pun, menukar pegangan demi pengundi atau berdiam diri terhadap kemunkaran pengundinya.

Di Malaysia, kita akan melihat satu demi satu prinsip-prinsip Islam terpinggir dalam kegilaan mendapatkan sokongan rakyat atau memenangi peti. Pihak yang memakai jenama ‘Islam’ juga akan mendiamkan diri, jika dilihat membela prinsip-prinsip itu merugikan undi mereka. Itulah buruknya demokrasi yang berteraskan suara rakyat, tanpa berpaksikan wahyu.

Saya tidak bertujuan mencadangkan agar ditukarkan nama demokrasi kepada syura. Apa yang ingin saya sebut, sebagai seorang muslim apa pun sistem yang diguna namanya, atau terpaksa kita berinteraksi dengannya, kita hendaklah sentiasa berpaksikan wahyu. Perlu ada acuan prinsip kita yang tersendiri. Jika pun tidak mampu menukar, nama demokrasi itu mungkin boleh dipakai, tetapi prinsip seorang muslim hendaklah sistem syura yang berasaskan tanggungjawab pemerintah di hadapan Allah.

Jika tidak, demokrasi akan mengorbankan prinsip Islam dan menjadikan pemerintah dan pembangkang hilang idealisma tenggelam dalam kehendak ramai yang pada hari dipengaruhi berbagai-bagai kehendak globalisasi. Hingga pemerintah dan pembangkang itu akhirnya mengikut kehendak rakyat bukan mendidik dan membimbing rakyat. Maka rosaklah negara.


Dr Asri Zainul Abidin

Tuesday, 14 April 2009

Ketokohan perawi hadith wanita

SEPERKARA anda mesti tahu, tidak tercatat langsung dalam sejarah, mana-mana individu wanita Islam yang semasa hayat mereka meriwayatkan atau perawi hadis didapati mereka-reka hadis palsu. Tidak seorang pun!

"Berbanding lelaki, terdapat ramai di kalangan mereka yang mereka-reka hadis palsu yang tentunya bertujuan memfitnah Rasulullah.

"Namun perkara ini tidak ditemui di kalangan tokoh-tokoh wanita sebagai perawi hadis," Felo Penyelidik dari Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Dr. Mohammad Akram Nadwi.

Justeru jika kita hendak mempersoalkan individu-individu tertentu mengenai integriti sesuatu ilmu itu, maka orang itu sepatutnya lelaki. Wanita lazimnya sentiasa menyampaikan sebarang pengetahuan apatah lagi melibatkan kesucian agama dengan jujur dan benar.

Fakta itu antara yang menarik perhatian hadirin yang mengikuti syarahan awam yang disampaikan oleh tokoh akademik anjuran Institut Antarabangsa Pengajian Islam Lanjutan (IAIS) Malaysia, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Namun Dr. Mohammad Akram mempunyai fakta-fakta menarik lain ketika menyampaikan syarahan yang bertajuk 'Peranan Wanita dalam Gerakan Hadis itu'.

Tsiqqah

Satu tajuk yang tidak sahaja menjelaskan bahawa wanita turut berperanan mengembang dan menyebarkan hadis-hadis Rasulullah. Malah ketokohan mereka membuktikan kaum hawa juga berperanan menentukan bentuk undang-undang dan hukuman yang bakal dijatuhkan di zaman masing-masing. Ini bererti mereka sangat tsiqqah (boleh dipercayai).

"Ini juga bermakna, tidak ada sesiapa yang boleh mempertikaikan jika hadis itu merupakan hasil riwayat seorang wanita.

"Sebabnya kualiti dan kekuatan hadis sama ada yang diriwayatkan perawi lelaki atau perempuan adalah sama dan kedua-duanya boleh diterima asalkan sahaja masing-masing telah memenuhi segala kriteria dan syarat sebagai perawi hadis yang sahih atau hasan," jelas beliau.

Lalu, mengapa tidak kita memberikan satu perspektif baru bahawa penglibatan wanita sebagai perawi hadis adalah sama penting seperti lelaki?

Sebagaimana yang disebut oleh Imam Hakim Naisaburi: "Satu perempat daripada khazanah ilmu agama kita bergantung kepada apa yang disampaikan oleh golongan wanita. Tanpa sumbangan dari mereka, kita mungkin kehilangan suku dari khazanah tersebut".

Menurut Dr. Mohammad Akram, umum mengetahui mengenai kebijaksanaan yang dimiliki oleh isteri Rasulullah, Siti Aishah yang banyak meriwayatkan hadis-hadis Rasulullah sebagaimana yang direkodkan oleh Imam Bukhari.

Walaupun Siti Aishah tidak pernah melahirkan anak tetapi beliau sering disifatkan sebagai ibu kepada semua perundangan Islam.

Selain Siti Aishah, kita sebenarnya mempunyai ramai tokoh wanita Islam dari zaman silam yang terkenal kerana meriwayatkan sesuatu hadis. Malah hadis yang diriwayatkan oleh mereka adalah yang terkenal dan paling terpakai.

"Hadis mengenai mengambil kewajipan air sembahyang, wuduk misalnya, telah diriwayatkan oleh seorang wanita dari zaman Rasulullah, iaitu Rubiyya binti Muawidh ibn Afrah, yang ahli keluarganya ramai yang terkorban dan syahid di peperangan di Bukit Uhud.

"Beliau adalah perawi hadis yang hebat apabila hadis berkenaan boleh ditemui dalam koleksi ramai periwayat hadis terkemuka yang lain termasuk Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah," ujar Dr. Muhammad Akram.

Sumber perundangan mengenai wajib berwuduk itu hanya diambil dari hadis Rubiyya apabila wanita ini menceritakan bagaimana tertib dan peraturan yang ditunjukkan oleh Rasulullah semasa mengambil wuduk sebagaimana yang beliau saksikan sendiri.

Anak murid wanita ini termasuklah Abdullah ibn Abbas yang merupakan seorang lagi tokoh yang banyak mengingati ayat-ayat al-Quran serta hadis dan sunnah Rasulullah malah salah seorang saudara terdekat, iaitu sepupu Rasulullah.

Abdullah tidak pernah mempertikaikan Rubiyya atau berkata: "Mengapa saya mesti belajar dari wanita ini, sedangkan saya sendiri berasal dari ahli keluarga Rasulullah malah saya juga seorang yang menghafal al-Quran".

Seorang lagi tokoh wanita dalam gerakan hadis dari generasi selepas zaman Rasulullah yang harus kita kenali, iaitu Amrah Abdur Rahman. Beliau seorang pakar perundangan malah bertaraf mufti dan yang lebih penting wanita ini menguasai bidang hadis.

Khalifah Islam terkenal, Umar Abdul Aziz pernah berkata: "Jika kamu hendak mempelajari hadis, pergilah belajar dengan Amrah". Imam Zuhri, tokoh yang terkenal kerana berjaya mengumpulkan hadis dengan sistematik pernah berkata: "Pergilah kepada Amrah, ilmu hadis yang beliau miliki umpama sebesar kapal".

Antara kehebatan Amrah itu diceritakan melalui satu kisah apabila seorang hakim di Madinah hendak menjatuhkan hukuman potong tangan terhadap seorang pencuri yang berasal dari Syria dan beragama Nasrani (Kristian).

Apabila perkara ini sampai ke pengetahuan Amrah, lalu beliau terus meminta anak muridnya segera menemui hakim itu supaya menarik balik hukuman itu.

Kata Amrah, lelaki Syria itu tidak layak dijatuhkan hukuman potong (pergelangan) tangan kerana nilai barang yang dicuri itu kurang daripada nilai satu keping wang emas (dinar). Sebaik sahaja hakim itu mendengar pendapat Amrah, beliau terus memerintahkan agar pencuri itu dibebaskan dengan baik!

"Hakim itu tidak sedikit pun mempersoalkan bidang kuasa yang dimiliki oleh Amrah atau meminta pendapat kedua dari orang lain selain pendapat dari Amrah.

"Kejadian ini ada tercatat dalam kitab Al Muwatta oleh Imam Malik yang beliau jadikan sandaran atau sumber hukum bagi kes yang sedemikian rupa," kata Dr. Muhammad Akram.

Seorang lagi wanita yang menjayakan gerakan hadis, merupakan satu lagi nama besar dalam ilmu hadis, iaitu Ummu Darda al Kubra.

Walaupun sebagai wanita tetapi Ummu Darda berjaya membuktikan beliau juga merupakan seorang tokoh ilmuwan sebagaimana Islam membenarkan agar kaum wanita supaya mempunyai kekayaan dalam ilmu pengetahuan dan bertanggungjawab untuk menyebarkannya kepada orang lain.

(Ummu Darda adalah seorang tabiiyyah (mereka yang tidak sempat menemui Rasulullah tetapi hanya berjumpa dengan para sahabat-sahabat besar baginda. Beliau adalah isteri kepada Abu al Darda, sahabat Rasullullah. Suaminya itu lewat memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya terkenal kerana mempunyai keimanan yang kuat terhadap Allah selepas peristiwa patung berhala di rumahnya dimusnahkan oleh rakan baiknya sendiri)

"Ummu Darda merupakan seorang ulama wanita yang sentiasa dirujuk oleh ramai anak murid apabila beliau mengajar di dua buah masjid, iaitu Masjid Umayyad (Umawi) di Damsyik dan di Baitul Maqdis.

"Kelas pengajian beliau sentiasa dipenuhi oleh anak-anak murid tanpa mengira latar belakang tinggi dan rendah termasuklah para imam, ahli perundangan dan guru-guru hadis," katanya Dr. Muhammad Akram.

Malah Khalifah Abdul Malik Marwan sendiri dikatakan banyak belajar hadis dan lain-lain ilmu daripada Ummu Darda.

Malah, dikatakan ketika mengajar Ummu Darda yang pada masa itu telah begitu lanjut usianya, akan menyandarkan badannya ke bahu Abdul Malik dan Khalifah sendiri akan memimpin Ummu Darda untuk pulang ke rumah atau hendak mendirikan solat.

Beliau pernah menegur Abdul Malik selepas dikatakan khalifah itu mengherdik seorang pelayan istananya kerana pelayan itu terlambat menyahut panggilannya.

Ummu Darda berkata: "Aku dengar semalam kamu mengutuk pelayanmu sedangkan aku pernah dengar Rasulullah bersabda yang maksudnya: Orang-orang yang biasa mengutuk (orang lain) tidak akan mendapat syafaat dan tidak layak menjadi saksi pada hari kiamat. (riwayat Muslim)

Dr. Muhammad Akram terus menarik perhatian hadirin dengan kisah seorang lagi tokoh wanita dalam gerakan hadis iaitu Fatima binti Ibrahim Ibni Jowhar dari abad ke 8 Masihi.

"Fatima merupakan guru terkenal kepada pengumpul hadis terkemuka, Al Bukhari yang terkenal dengan hadis sahih Bukhari, iaitu hadis yang memenuhi segala peraturan dan mempunyai sanad hadis yang sempurna atau mutawatir," katanya.

Dikisahkan sebaik sahaja mendapat tahu wanita ini mengunjungi Madinah, orang ramai meminta Fatima ini mengajar di Masjid Nabawi.

Ibnu Rushayd al Subki yang mengembara dari Marrakesh, Maghribi menceritakan suasana apabila Fatima mengajar di masjid itu: "Fatima akan duduk di bahagian kepala makam Rasulullah dan kadang kala wanita ini akan menyandarkan badannya ke makam baginda dan beliau akan mengurniakan ijazah kepada anak murid yang berjaya mengikuti pengajian hadis darinya".

Dr. Muhammad Akram membuka pemikiran yang selama ini menganggap peranan wanita cukup sekadar di dapur tetapi dengan menyebut dua, tiga lagi tokoh wanita termasuk kehebatan Aishah Abdul Hadi yang dilantik oleh sultan sebagai Guru Hadis malah bagaimana tokoh hadis terkenal, Hajar Al Asqalani belajar hadis dari 100 buah buku yang diajarkan oleh Aishah ini.

Beliau juga menyebut satu lagi nama besar, iaitu Fatimah Al Juzdani, ilmuwan yang hebat dari Isfahan. Beliau menguasai hadis-hadis daripada 37 buku kitab hadis terkenal, Al Mu'jam Al Kabeerkarangan Imam At-Tabarani.

Namun terdapat kisah yang lebih menarik membabitkan seorang lagi tokoh yang dikenali sebagai Fatimah Al Samarqandiyya. Iaitu bagaimana dari Fatimah, suaminya, Imam Kasani beroleh ilmu sehingga dapat menulis kitab muktabar, Badaya Al Sanaya.

Begitupun untuk lebih lanjut mengenai sumbangan tokoh-tokoh wanita Islam dalam pelbagai khazanah ilmu termasuk hadis boleh diperolehi melalui buku karangan Dr. Muhammad Akram yang begitu terkenal, iaitu al-Muhaddithat: the Women Scholars in Islam (terbitan Interface Publication, Oktober 2006).

Buku ini mengandungi hampir 40 volum hasil kertas kerja yang melibatkan hampir 8,000 tokoh wanita Islam sejak dari zaman Rasulullah.

Jelas sekali, perbuatan menyimpan wanita hanya diceruk-ceruk dapur mahupun loteng rumah dengan tujuan menafikan hak mereka untuk menuntut dan menyebarkan ilmu maka ia merupakan perbuatan yang paling tidak bertamadun.


Siti Aniza Kamsari/Bicara Agama/Utusan Malaysia

Sunday, 12 April 2009

Bersahabat dengan ulama
kadang-kadang membuatkan diriku terasa hina
Bersahabat dengan ahli maksiat
kadang-kadang membuatkan diriku menjadi hina

namun
jika aku menjauhi ahli ilmu
maka jauhlah aku dari dakwahnya

dan
jika aku menjauhi ahli maksiat
maka jauhlah aku untuk berdakwah kepadanya

oleh itu
tiggikanlah akhlakmu
setinggi bintang dilangit

dan
rendahkanlah hatimu
serendah mutiara di lautan
...

ya Allah
wahai Tuhan yang membolak balikkan hati
tetapkanlah hati kami
agar tetap di dalam agamaMu
agar sentiasa taat kepadaMu
...