ayat mulia~

"and certainly, We shall test you with something of fear, hunger, loss of wealth, lives and fruits, but give glad tidings to as-Sabirin (the patient ones)-(surah al-Baqarah: 155)

Tuesday 25 August 2009

puasa


Umat Islam diwajibkan berpuasa di dalam bulan Ramadan sebagaimana yang diperintahkan kepada umat-umat terdahulu. Para ulama mengistinbat kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan melalui surah al-Baqarah ayat 183:

“Wahai Orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”

Rasulullah saw bersabda:

“Islam dibina di atas lima asas, iaitu bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah, mendirikan solat, membayar zakat, menunaikan ibadah haji dan berpuasa di bulan Ramadan” (diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

Kegembiraan untuk orang yang berpuasa

Rasulullah saw bersabda,

“Setiap amalan anak cucu Adam adalah untuk (manfaat) dirinya sendiri, melainkan berpuasa. Ia adalah untukKu dan Akulah yang akan memberi ganjaran kepadanya” (hadith qudsi diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, Ahmad)

Rasulullah saw bersabda,

“Bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih wangi disisi Allah berbanding bau wangian kasturi” (diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, Ahmad)

Rasulullah saw bersabda,

“Syurga mempunyai satu pintu yang disebut Bab al-Rayyan. Dari situlah orang-orang yang berpuasa masuk ke dalam syurga. Jika mereka sudah masuk ke dalam syurga, maka pintu tersebut ditutup.” (diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, Ahmad)

Melalui tiga hadith di atas sudah cukup untuk seseorang muslim menanm rasa kegembiraan di dalam diri masing-masing dan membakar semangat yang berkobar-kobar untuk menjalani ibadah puasa dengan ikhlas dan mengharapkan janji-janji yang telah Allah khabarkan. Jelaslah Allah memandang mulia bagi umat Muhammad yang berpuasa dengan seikhlas hatinya sebagaimana hadith daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah saw bersabda “Barangsiapa yang menghidupkan Ramadan dengan dengan penuh keimanan dan mengharapkan reda-Nya maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu” (muttafaq ‘alaih). Manakala hadith-hadith dibawah ini pula menunjukkan bahawa Allah tidak pernah menzalimi anak cucu Adam bahkan Allah penuh dengan sifat kasih sayang dan limpahan rahmatnya sentiasa tercurah ke atas mana-mana hamba yang mendambakannya. Di dalam hadith-hadith dibawah menceritakan bahawa para syaitan akan dibelenggu dan pintu-pintu neraka akan ditutup rapat manakala pintu-pintu syurga akan dibuka seluasnya. Syaitan-syaitan dibelenggu agar tidak dapat menghembuskan bisikan-bisikan kemaksiatan kepada anak Adam, dan yang tinggal hanyalah nafsu yang ada di dalam diri masing-maisng. Dan nafsu ini sepatutnya tunduk dan lemah dengan tuntutan Ibadah puasa yang sempurna (tidak tinggal solat, tidak bercakap bohong, tidak ghibah/mengumpat, tidak bergaduh dan bercakap perkataan yang kesat dan lucah). Ibadah puasa disyariatkan kepada anak Adam agar ketaqwaan bersemadi di dalam diri dan sekaligus dapat mengawal kebuasan nafsu amarah yang sentiasa meronta-ronta inginkan kemaksiatan.

Rasulullah saw bersabda,

“Jika datang bulan Ramadan maka dibukalah pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan” (diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim)

Rasulullah saw bersabda,

“Jika telah datang awal bulan Ramadan, diikatlah para syaitan dan jin-jin yang jahat, ditutup pintu-pintu neraka, tidak ada satu pintu yang dibuka dan dibukalah pintu-pintu syurga, tidak ada satu pintu pun yang tertutup, berserulah seorang penyeru: “wahai orang yang ingin kebaikan lakukanlah! wahai orang yang ingin keburukan kurangkanlah! Dan bagi Allah mempunyai orang-orang yang dibebaskan dari neraka dan ianya terjadi pada setiap malam”” (hadith hasan diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dan Ibn Khuzaimah)

Ancaman untuk orang yang tidak berpuasa

Rasulullah saw bersabda,

“Ketika aku tidur, datanglah dua orang pemuda kemudian memegang dua lenganku, membawaku ke satu gunung kasar (tidak rata), keduanya berkata “Naik”. Aku berkata “Aku tidak mampu”. Keduanya berkata “Kami akan memudahkanmu”. Aku pun naik sehingga ke puncak gunung, ketika itulah aku mendengar suara yang keras. Aku pun bertanya “Suara apakah ini?”. Mereka berkata “Ini adalah teriakan penghuni neraka”. Kemudian keduanya membawaku, ketika itu aku melihat orang-orang yang digantung dengan kaki di atas, mulut mereka robek, darah mengalir dari mulut mereka. Aku bertanya “Siapa mereka?”. Keduanya menjawab “Mereka adalah orang yang berbuka sebelum halal puasa mereka.” (diriwayatkan oleh al-Nasa’i, Ibn al-Hibban dan al-Hakim. Sanadnya sahih)

Begitulah gambaran yang digambarkan oleh nabi bagi orang-orang yang tidak berpuasa dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran syar’i. Tidak ada seorang manusia pun di dunia ini yang mahu ke neraka walaupun non-muslim. Mereka percaya bahawa neraka merupakan satu tempat yang penuh kesengsaraan namun bagi umat Islam, neraka bukan sahaja tempat yang penuh dengan seksaan dan kesengsaraan tetapi penuh dengan kemurkaan dan laknat Allah. Marilah bersama-sama kita menyemarakkan Ramadan dengan amalan puasa di siang hari dan bertarawih serta qiam di malam hari.

Hadith yang disebutkan di atas bukan ancaman bagi orang yang diizinkan syarak untuk berbuka seperti orang sakit, orang yang sedang bermusafir, ibu mengandung dan ibu yang menyusukan anak juga perempuan yang datang haid dan nifas.

No comments:

Post a Comment