ayat mulia~

"and certainly, We shall test you with something of fear, hunger, loss of wealth, lives and fruits, but give glad tidings to as-Sabirin (the patient ones)-(surah al-Baqarah: 155)

Tuesday 8 December 2009

Kasih sayang


Kebanyakan manusia yang tipis imannya sering berlegar-legar di kotak fikirannya tentang keadilan yang dibawa oleh Islam. Mengapa pembahagian harta pusaka faraid dilebihkan lelaki daripada perempuan, mengapa umat Islam tidak dibenarkan meminum arak, mengapa zina tidak diizinkan, mengapa perempuan wajib berhijab, mengapa aurat lelaki lebih ringan daripada perempuan, mengapa ada neraka kalau Allah tu penyanyang. Mengapa, mengapa dan mengapa adalah soalan yang sering berlegar-legar di dalam kepala manusia yang tipis imannya setipis selaput telur yang mampu dirobekkan hanya dengan satu hembusan angin.
Di dalam masalah ini, kita sebagai hamba tidak layak untuk menilai dan mempersoalkan paras keadilan dan tanda kasih Allah kepada manusia secara membuta tuli sedangkan sama ada manusia itu sedar atau tidak Allah sentiasa menyelamatkan hamba-hambanya daripada sebarang bentuk kesengsaraan dan sentiasa menunjukkan jalan kejayaan kepada hambanya dengan memberikan kitab sebagai panduan untuk menuju kepada kejayaan tersebut. Kejayaan yang dimaksudkan di sini adalah kejayaan di akhirat kelak yang merupakan satu kejayaan yang paling berjaya untuk diraih dan diidam-idamkan oleh setiap insan yang mengetahui betapa berharganya kejayaan yang diperolehi di akhirat kelak.

Pensyariatkan perintah dan larangan adalah sebagai salah satu ujian dan cubaan yang perlu ditempuh oleh setiap insan. Perintah dan larangan ini jika diteliti merupakan salah satu bentuk keadilan dan tanda kasih Allah. Bahkan di dunia manusia mencipta undang-undang yang berbentuk tegahan dan kewajipan sedangkan Allah lebih berhak untuk menentukan apa yang perlu dilakukan dan apa yang perlu dijauhkan. Jika larangan diingkari dan kewajipan dilupai maka balasan yang setimpal akan dikenakan. Di dalam hal ini, Allah maha adil di mana menilai mana-mana kesalahan yang dilakukan akan diadili dengan pengadilan paling adil. Tiada tindasan akan terjadi, yang tertindas akan diberikan haknya dan yang menindas akan ditindas dan diberikan balasannya.

Tidak ada istilah ‘kejam’ di dalam pengadilan Allah kelak kerana di dunia ini lagi Allah telah memberikan peringatan bagi setiap perbuatan yang kita lakukan dan apa yang bakal kita perolehi. Setiap perbuatan pasti akan diperhitungkan walau sekecil mana pun perbuatan tersebut pasti tidak akan terlepas daripada pandangan Allah dan pasti akan dibawa ke muka pengadilan. Sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Zalzalah ayat 6-8. Terjemahannya “Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan yang bermacam-macam, supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) pekerjaan mereka. Sesiapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarah pun nescaya dia akan diperlihatkannya, dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah pun nescaya dia akan diperlihatkannya juga”. Begitulah janji Allah di dalam pengadilan yang bakal ditempuhi oleh semua umat manusia kelak.

Kasih sayang dan keadilan Allah akan tersirna lagi bagi pemikir dan orang-orang yang mengimani suruhan dan larangan Allah dengan sepenuh hati. Ini kerana bagi setiap larangan dan suruhan pasti terkandung hikmah dan kebaikan yang banyak di dalamnya seperti larangan meminum arak. Arak dikenali juga sebagai ibu kepada maksiat. Dengan meminum arak fikiran manusia akan menjadi khayal, mabuk dan hilang pertimbangan sebagai manusia biasa. Di dalam keadaan ini, akal manusia tidak lagi mampu untuk menolak dan menimbang apa yang betul dan apa yang salah. Fikiran-fikiran yang matang akan terbantut kematangannya, fikiran yang logik akan terawang-awang kelogikannya, fikiran yang bernas akan tercantas kebernasannya gara-gara arak dan kemabukannya. Di dalam keadaan yang khayal dan mabuk ini, manusia akan berbuat apa sahaja tanpa terlebih dahulu meminta pertimbangan akal untuk menentukan sama ada baik atau tidak. Mungkin sahaja membunuh atau berzina, malah mencaci maki dan mengherdik ibu bapa juga tidak terkecuali kerana apa sahaja bakal terjadi ketika seseorang di dalam keadaan yang mabuk. Justeru, larangan Allah adalah untuk menyelamatkan manusia daripada menjadi seperti haiwan yang tiada akal dan kewarasan fikiran. Haiwan tidak dikurniakan akal dan pertimbangan kewarasan fikiran sedangkan orang-orang yang mabuk kerana meminum arak juga telah tercabut kewarasan fikirannya dan ini sama keadaannya seperti haiwan.

Di dalam pada itu, Allah telah menyediakan syurga dan neraka bukanlah tanda Allah tidak menaruh kasih sayangNya terhadap hamba-hambaNya akan tetapi itu adalah tanda keadilan Allah. Allah telah memberikan al-Quran sebagai buku untuk rujukan semua umat manusia agar mereka mengetahui apa yang perlu mereka lakukan dan apa yang perlu mereka tinggalkan, apa ganjaran bagi setiap kewajipan dan apa balasan bagi setiap larangan. Allah telah menyebutkan berkali-kali mengenai ganjaran dan balasan yang telah disediakannya. Tetapi adakah dengan adanya neraka itu tandanya Allah telah hilang sifat kasih sayang. Tidak sekali-kali bahkan itulah tandanya Allah sangat mencintai hambaNya kerana neraka disediakan agar manusia merintih, merayu dan meletakkan dahinya ke bumi agar dijauhkan dari seksaan neraka. Mereka akan bertaubat agar dosa-dosa diampunkan dan memohon dengan kasih sayang Allah agar dilepaskan dari api neraka maka pasti Allah akan mengasihinya dan melepaskan dari seksaan neraka. Allah berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 222. Terjemahnnya, “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri”. Di dalam surah al-Hadid ayat 21 pula Allah memerintahkan agar berlumba-lumba untuk mendapatkan syurga dengan meminta keampunanNya. Terjemahnnya, Berlumba-lumbalah kamu kepada keampunan tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasulNya”. Manakala syurga pula adalah tempat yang mana Allah melimpahkan rahmat dan kasih sayangnya yang tidak putus-putus. Maka ianya juga dijadikan sebagai tanda kasih sayang Allah kepada hambanya untuk membalas sebarang kebaikan yang telah dikerjakan.

No comments:

Post a Comment