ayat mulia~

"and certainly, We shall test you with something of fear, hunger, loss of wealth, lives and fruits, but give glad tidings to as-Sabirin (the patient ones)-(surah al-Baqarah: 155)

Sunday 5 April 2009

Bersemuka: Mufti tidak semesti disandang orang pencen



Dunia makin pantas berubah dan masa depan negara ditentukan oleh bentuk generasi masa kini 

SELEPAS seminggu memegang jawatan Mufti Perlis, bagaimana Dr melihat tugas dan fungsi sebagai mufti di negeri itu? 

Tugas mufti adalah sebagai pusat rujukan tertinggi umat Islam bagi mendapatkan nasihat dalam isu agama. Mufti memegang amanah untuk memastikan segala rujukan hukum syarak adalah berteraskan dua rujukan utama Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Inilah identiti Ahli Sunnah wal Jamaah yang menjadi identiti negeri Perlis secara jelas.

Tegasnya, tugas memastikan nasihat yang benar dan tepat berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah bukanlah suatu tugas mudah. Ia memerlukan usaha penyelidikan dan penggalian ilmu yang mendalam. Saya fikir tugas asasi yang berat ini sudah memadai untuk menjelaskan betapa besarnya amanah yang mesti dijalankan oleh seorang mufti. Mufti mesti turun padang berjumpa umat untuk menjelaskan setiap hukum syarak dan berusaha menghilangkan kekeliruan yang wujud di kalangan mereka. Jawatan mulia ini bukan hanya untuk ditonton dan duduk selesa dalam pejabat, jawatan mulia ini mesti diletakkan pada tempatnya iaitu ia benar-benar menjalankan tugas sebagai penjelas hukum Islam kepada umat.


Apakah agaknya penambahbaikan yang dirasakan perlu dilaksanakan oleh Pejabat Mufti Perlis? 


Penambahbaikan yang terbaik ialah dengan memantapkan sistem penyampaian yang selalu dilaungkan oleh kepemimpinan negara. Biarlah semua peringkat masyarakat mempunyai akses mudah untuk berhubung dengan institusi yang bertanggungjawab memberi penjelasan serta kefahaman mengenai hukum hakam supaya segala silap faham agama dapat dirungkaikan dengan mudah dan terang. Masyarakat mesti jelas tempat rujukan dan mereka mesti dimudahkan untuk merujuk. Pada saya ia tidak akan merendahkan martabat mufti. Mesra media juga adalah salah satu caranya kerana bagaimana masyarakat hendak dapat input yang jelas jika mufti tidak memberi maklumat tepat kepada media. Media penting untuk mendidik masyarakat serta memberi penjelasan mengenai Islam yang sebenar. Pendapat mufti amat penting diketengahkan supaya tidak berlaku kecelaruan pandangan di kalangan ahli masyarakat. Bahkan fatwa yang dikeluarkan adalah hasil usaha memahami hukum syarak berdasarkan al-Quran dan al-sunnah, iaitu sumber yang wajib diterima masyarakat Islam. 

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abdidin begitu popular ketika memegang jawatan ini kerana kelantangannya mengemukakan isu. Apa pendekatan Dr?

Kelantangan mestilah berteraskan kebenaran yang diyakini bersandarkan al-Quran dan al-Sunnah. Setiap Muslim wajib mempertahankan dua sumber asasi Islam ini. Jika orang Islam sendiri membelakangkan dua sumber utama ini, maka apakah identiti Islam masih wujud pada umat ini. Dua sumber ini kekal abadi kemaksumannya, manakala pandangan manusia hanyalah sekadar suatu pandangan. Saya yakin umat Islam masa kini lebih meyakini kaedah penjelasan hukum bersandarkan dalil yang jelas dan mudah daripada al-Quran dan al-Sunnah. Saya lebih sukakan pendekatan mendidik dan memahamkan masyarakat. Kebiasaannya manusia menentang perkara yang mereka tidak ketahui. Umum mengetahui bahawa ‘manusia menjadi musuh terhadap perkara yang dia tidak ketahui’. Saya juga tidak bersetuju jika mufti tidak boleh bercakap atau mesti dikurangkan bercakap kerana mufti perlu menerima jemputan berceramah bagi menjelaskan hukum syarak. Dengan cara itu usaha mendidik serta memberi kefahaman kepada masyarakat dapat dilakukan. Apa yang datang daripada mufti adalah pandangan dan jika tidak bersetuju, perkara itu boleh dibincangkan tetapi hendaklah dengan cara beradab. 


Adakah jawatan ini akan membuka peluang lebih luas untuk Dr menceburi bidang politik pula pada masa depan? 

Politik adalah sebahagian daripada agama Islam. Islam tidak pernah terpisah daripadanya bahkan Islam perlu ditadbir oleh politik berteraskan roh Islam bagi memastikan pentadbiran manusia itu berasaskan kepada keadilan dan kesaksamaan yang ditentukan wahyu Ilahi. Setiap orang perlu memberi sumbangan ke arah memastikan umat Islam ditadbir menurut kehendak agama mereka. Apakah saya akan aktif dalam politik selepas ini? Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan tetapi menjadi cita-cita saya untuk mendaulatkan Islam, bukan saja di negara ini malah kepada umat Islam yang lain. 

Suasana sekarang melihat agama turut dipolitikkan, apakah pandangan Dr? Apa nasihat Dr kepada mereka yang mempolitikkan agama?

Ini sekadar persepsi yang subjektif. Pelbagai pihak ada dimensi pandangan tersendiri. Apa yang penting ialah kebenaran agama Islam hanya akan kelihatan jika setiap perkara yang disandarkan kepada Islam, berlatarkan rujukan asasi iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Pandangan yang lari daripada kedua sumber ini, bukanlah mewakili Islam. Beri ruang seluas-luasnya kepada ahli agama yang benar-benar layak dan berautoriti melakukan kerja mereka. Ahli agama umpama pakar profesional dalam bidang mereka. Mengapa jika doktor pakar bedah jantung diberikan autoriti dan kepercayaan sepenuhnya dalam bidang mereka, tetapi tidak kepada ahli agama. Ini suatu pilih kasih yang jelas, dan teramat malang ia berlaku kepada urusan agama. Sementara bagi ahli agama, sama ada yang rasmi atau tidak, hendaklah sentiasa mempunyai rasa takut kepada Allah dalam melaksanakan amanah urusan agama ini. Jika mereka dapat menjauhi nafsu keduniaan, saya yakin tidak akan berlaku penyalahgunaan ruang agama oleh pihak berkepentingan jahat. 

Ada juga dakwaan mengatakan bahawa Dr menyokong fahaman Wahabi. Betul ke? 

Umat Islam mesti menyokong setiap kebenaran bersandarkan hujah al-Quran dan al-Sunnah. Kebenaran hanya berlegar sekitar dua sumber ini. Persepsi dan tohmahan liar pelbagai pihak adalah sesuatu yang lumrah. ‘Setiap yang mempunyai nikmat itu, pasti ada yang dengki kepadanya’. Ini suatu kaedah umum yang wajar direnungi oleh setiap orang yang Allah uji dengan kedudukan. Tohmahan adalah harga yang perlu dibayar oleh setiap yang diuji dengan amanah oleh Allah. Isu Wahabi dan pelbagai label adalah isu lapuk sejak sebelum merdeka di Malaysia. Sesiapa yang memahami sejarah negara pasti faham kenapa sesetengah golongan suka melemparkan label ini kepada golongan yang mahukan kemajuan dalam beragama bagi umat Islam di Malaysia. 

Apa pandangan Dr mengenai pemilihan mufti di kalangan orang muda sedangkan dulu mufti adalah mereka yang sudah berpengalaman. Adakah tindakan kerajaan memberi peluang kepada golongan muda itu langkah terbaik? 

Pada saya tidak timbul soal umur. Saya sendiri pun sudah berasa diri ini juga sudah berumur. Jika disemak pelantikan yang lain, ramai juga dilantik pada usia muda awalnya dan terus kekal di kerusi itu hingga berpuluh tahun lamanya. Jawatan mufti bukan hanya untuk mereka yang pencen. Ia adalah untuk mereka yang mendapat kepercayaan, seterusnya berkemampuan untuk menyelidik isu keagamaan. Dunia kini semakin pantas berubah. Masa depan negara kita ditentukan oleh bentuk generasi masa kini yang masih muda. Saya percaya orang muda lebih memahami cara hidup dan cara fikir generasi muda masa kini.


al-ahkam.net

No comments:

Post a Comment