ayat mulia~

"and certainly, We shall test you with something of fear, hunger, loss of wealth, lives and fruits, but give glad tidings to as-Sabirin (the patient ones)-(surah al-Baqarah: 155)

Sunday 5 April 2009

Gambar

Gambar-gambar merupakan salah satu perhiasan utama bagi kebanyakan tempat sama ada gambar fotografi atau gambar yang dilukis. Jika kita lihat di bangunan-bangunan awam, di hotel-hotel atau di rumah-rumah, gambar sebagai perhiasan pasti ada digantung-gantung di dinding-dinding. Apakah hukumnya mengantung perhiasan-perhiasan yang berupa lukisan ataupun gambar di dinding-dinding kediaman kita. Atau apakah pula hukum bagi pelukis lukisan tersebut.

Hukum mengenai lukisan ini, ulama memberikan hukum yang berbeza-beza berdasarkan kepada cir-ciri yang terdapat pada sesuatu lukisan tersebut. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa gambar dan lukisan yang mempunyai roh sama ada manusia atau haiwan, berjisim atau tidak dan dihormati ataupun tidak dihormati. Manakala sebahagian ulama salaf pula menghukumkan haram hanya ke atas gambar yang timbul , berjisim serta mempunyai bayang-bayang yang disebut sebagai patung manakala gambar yang tidak berbayang adalah diharuskan. Sedangkan Dr Yusuf al-Qardawi pula menyatakan bahawa haram pada gambar yang dipahat atau diukir yang mempunyai jisim dan gambar yang mendatar yang dilukis di atas kertas dinding, kayu pula adalah makruh tanzih.

Yang jelasnya pengharaman ke atas sesuatu gambar itu berlaku sekiranya terdapat unsur-unsur berikut pada gambar tersebut iaitu:

Lukisan tersebut sama ada hidupan bernyawa atau tidak, sempurna atau tidak yang mengandungi unsur-unsur dan tujuan syirik seperti lukisan lembu sembahan masyarakat Hindu, lukisan bunga teratai, lukisan salib, nazi, zionis, yin dan yan, atau apa-apa yang berkaitan dengan sembahan agama lain hukumnya adalah haram.

Seterusnya lukisan lengkap terhadap sesuatu hidupan yang bernyawa yang cukup anggotanya seolah-olah bertujuan menandingi Allah dalam dalam kuasa penciptaan makhluk maka hukumnya adalah haram seperti lukisan haiwan yang menonjol lukisannya, warnanya dan anggotanya sehinggakan hampir sama dengan haiwan yang sebenar.

Kemudian lukisan yang mengandungi unsur-unsur kehebatan dan kebesaran sama ada bernyawa atau tidak, sempurna atau pun tidak maka hukumnya juga adalah haram. Seperti gambar pembesar yang dibuat dengan niat utuk bermegah dengan pingat dan anugerah kebesarannya dan tambahan pula ianya dipamerkan dikhalayak ramai untuk tujuan kemegahan.

Manakala lukisan yang makruh pula adalah seperti berikut:

Lukisan yang berkaitan dengan hidupan tetapi bukan dalam keadaan yang sempurna seratus peratus dengan imej yang sebenar seperti lukisan kartun atau animasi.

Dan lukisan yang yang dilukis berkisar mengenai hidupan yang tidak bernyawa seperti pokok, sungai, batu, gunung, awan, padang, hutan-hutan dan lain-lain adalah diharuskan malah bagus untuk tujuan merehatkan minda sekiranya melihat kepada lukisan tersebut dan selagi mana ianya tidak melebihi daripada keperluan.

Mengenai masalah fotografi pula, ulama kontemporari kebanyakannya mengharuskan kerana ianya adalah salah satu peroses yang bukan seperti memahat atau melukis gamabar yang bertujuan untuk menandingi kuasa ciptaan Allah. Syeikh Muhammad Bakhit berfatwa “bahawa fotografi itu adalah penahanan bayangan dengan menggunakan suata alat yang telah dikenal oleh ahli-ahli (tukstel). Cara seperti ini tidak ada larangan sedikitpun. Kerana larangan menggambar, iaitu mengadakan gambar yang sebelumnya tidak ada dan belum dibuat sebelumnya yang boleh menandingi (makhluk) ciptaan Allah. Sedangkan pengertian seperti ini tidak terdapat pada gambar yang diambil dengan menggunakan tukstel atau kamera”.

Malah Dr Yusuf al-Qardawi juga bersetuju dengan pendapat ini dan memasukkannya di dalam bukunya halal dan haram di dalam Islam.

Pada perinsipya hukum berfotografi adalah harus tetapi perlu diingat selagi mana ianya tidak mengandungi unsur-unsur lain yang boleh menyebabkan perkara tersebut bertukar menjadi kepada perkara yang diharamkan. Seperti mengambil gambar seseorang tokoh lalu diagungkannya maka disini hukum fotografi tersebut berubah menjadi haram, begitu juga dengan gambar-gambar wanita atau lelaki yang berbogel atau separuh bogel, mendedahkan aurat mereka atau menampakkan sebahagian badan mereka yang boleh menyebabkan naiknya syahwat seperti yang banyak terjadi pada zaman sekarang yang mana ianya banyak dimuatkan pada majalah-majalah, surat khabar malah dipanpan-papan iklan yang besar yang ditayang dan ditonton oleh khalayak umum yang sengaja dilakukan untuk menarik minat pembeli maka hukum fotografi seperti ini juga adalah diharamkan walaupun pada asalnya ia adalah harus.

Begitu juga ingin menyentuh mengenai televisyen yang mana merupakan satu medium yang amat penting pada zaman ini dalam penyaluran maklumat semasa. Adakah televisyen ini dilarang secara mutlak malah tidak dibenarkan langsung untuk menontonnya? Ini semua bergantung kepada penguasaan diri masing-masing. Manusia adalah tuan kepada dirinya sendiri yang mana setiap masa membuat keputusan untuk dirinya dalam menempuh perjalanan hidupnya sebagai sebahagian ahli masyarakat dan juga sebagai seorang muslim. Televisyen tidaklah dilarang secara mutlak akan tetapi ianya menjadi terlarang dan tidak halal kerana cara penggunaannya yang tidak halal. Umpama sebilah pedang, ianya menjadi sangat bermanfaat kepada agama dan diri sendiri apabila berada ditangan seorang mujahid atau pembela agama dan menjadi bencana apabila ia berada ditangan seorang pemberontak atau penyamun. Dari sini kita melihat televisyen dapat memberikan pembangunan syakhsiah dan pembentukan jiwa keislaman sekiranya ianya dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Tetapi sebaliknya jika kita lihat sekarang rancangan-rancangan di televisyen banyak menyiarkan cerita-cerita yang tersasar dari kesopanan ajaran Islam itu sendiri seperti cerita-cerita dari barat yang banyak mengisahkan percintaan yang melampau, mengajar perempuan cara berfesyen ikut cara ‘moden’, mengajar ‘tidak salah’ lelaki dan perempuan yang bukan mahram berdua-duaan berjanji setia sehidup semati. Ini semua adalah budaya-budaya karat yang patut dijauhi oleh orang Islam kerana ianya jauh dari ajaran Islam yang lurus. Oleh itu tidak hairan jika ada individu yang melarang anak-anak mereka menonton televisyen kerana mereka melihat bencana yang dibawa oleh televisyen lebih banyak dari kebaikan. Walau apa pun, kita perlu lebih mengambil sikap berhati-hati dengan rancangan yang disiarkan oleh televisyen sebagai langkah berjaga-jaga dari terpengaruh oleh budaya-budaya yang dibawa oleh cerita-cerita dari barat. Disimpulkan tidaklah salah untuk menonton televisyen selagi mana dapat menjaga diri dari terpengaruh dengan budaya yang melencong dari ajaran Islam yang murni dan selagi mana rancangan yang disiarkan tidak berunsur maksiat yang mendedahkan aurat dan menaikkan syahwat dan tidak disertai dengan majlis-majlis yang berunsur maksiat seperti terjadinya percampuran yang bebas dan persentuhan lelaki dan perempuan atau terdapat majlis arak.

Begitu juga dengan menonton wayang, ianya bukanlah satu perbuatan yang keji selagi mana seseorang tetap dapat menjaga adab dan kesopanan sebagai seorang muslim, selagi mana filem yang ditonton tidak mengandungi unsur maksiat, dapat melahirkan keinsafan dan menjernihkan aqidah Islam, tidak mengajar kepada perkara yang bertentangan dengan akhlak seorang muslim seperti mengajar mencuri, mengajar menderhaka kepada ibu bapa dan sebagainya. Selain itu, seseorang tidak boleh lalai dan melupakan tangungjawab sebagai seorang Islam iaitu tidak meninggalkan kewajiban bersolat dan sebagainya. Dan yang paling penting tidak terjadi persentuhan di antara lelaki dan perempuan dan percampuran rambang antara lelaki dan perempuan, lebih-lebih lagi wayang tidak dapat dilakukan kecuali ditempat gelap.

Wallahu a‘lam


mohd zakaria mahadi

No comments:

Post a Comment